Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman harus membantu Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai maklumat dalaman
mengenai rasuah peringkat tertinggi UMNO.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Rashid pasti
mempunyai maklumat tersebut, berikutan reaksi Menteri Dalam Negeri Datuk
Seri Zahid Hamidi kepadanya bahawa ‘ada benda bekas pengerusi SPR tidak
dapat’.
Rashid sebelum ini menggesa Datuk Seri Najib Razak berhenti
berbohong kepada rakyat tentang keadaan sebenar kedudukan negara dan
berlaku jujur kepada pemimpin Melayu.
Dalam kenyataannya minggu lalu Rashid menolak kepimpinan
Najib yang disifatkannya sebagai ‘rasuah’ dan menegaskan bahawa UMNO-BN
berada di ‘ambang kematian’.
Malah dia turut mencadangkan Perkasa untuk ‘mengukuhkan
usaha untuk menjadi sebuah badan politik yang akan memerintah negara
ini’.
Zahid dalam reaksi kemudiannya menempelak Rashid, bahawa
bekas Pengerusi SPR itu seharusnya membangkitkan pandangannya ketika
masih berkhidmat dan bukannya selepas bersara daripada perkhidmatannya.
Namun tidak ada susulan penjelasan sama ada dari Rashid atau Zahid mengenai perkara yang dimaksudkan.
Kata Kit Siang melihatkan ‘serangan’ terhadap Perdana
Menteri, Rashid seolah-olah menunjukkan bahawa dia tahu mengenai rasuah
peringkat tinggi kepimpinan UMNO.
Justeru itu kata Kit Siang, Rashid harus membantu SPRM
dengan maklumat dalaman yang diketahuinya mengenai rasuah dalam
kepimpinan tertinggi UMNO, agar Malaysia boleh menyertai China dan
Indonesia menangkap ‘harimau’ dan ‘buaya’ dalam perang melawan rasuah.
“Rashid boleh memberikan maklumat kepada SPRM tentang
‘benda’ yang Zahid sebut untuk menutup mulutnya,” kata Kit Siang. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan