Khamis, 17 Julai 2014

Wajib derma bantu rakyat Palestin

MUHAMMAD FAIZAL



Nik Abduh bersama Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop dan sebahagian kakitangan Harakah selepas menyampaikan Tazkirah Ramadhan di Surau Harakah hari ini.

 

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Ulamak PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata rakyat negara ini perlu menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan yang dialami rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Israel.

Jelasnya, rakyat negara ini tidak perlu lagi mengganggap derma yang diberikan itu sebagai sunat tetapi ia merupakan satu kewajipan.

"Di dalam surah Al-Baqarah ayat 177, Allah ada menyebut bukanlah kebajikan itu orang yang mengadap wajah mereka ke barat atau ke kanan tetapi orang yang melakukan kebajikan adalah mereka yang beriman kepada Allah dan malaikat.

"Dan di dalam ayat tersebut juga Allah Taala turut menyebut tentang harta, pertama tentang zakat dan dalam ayat yang sama turut memberitahu adalah membelanjakan harga yang dia kasihi, sayangi kerana dia susah atau harta yang sedikit, tetapi Allah kata wajib keluarkan harta tersebut untuk orang yang dekat dengan dia iaitu orang miskin ataupun anak yatim," jelasnya selepas program Tazkirah Ramadhan di Surau Harakah hari ini.

Kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, terdapat ulama yang menyebut, oleh kerana Allah menyebutkan kewajipan kita tentang harta tersebut dan ia memberi maksud bukan hanya wajib kepada mereka yang layak memberi zakat tetapi juga kepada mereka yang tidak layak mengeluarkan zakat.

"Kita orang awam yang tidak kaya dan tidak layak untuk membayar zakat tetapi di depan kita ada orang miskin, anak yatim ataupun mereka yang terkandas di perjalanan, maka wajib ke atas kita untuk menderma.

"Dalam keadaan sekarang yang berlaku di hadapan kita adalan rakyat Palestin yang menanggung penderitaan, mereka memerlukan bantuan kita dan kita wajib membantu mereka.

"Kita sebagai rakyat Malaysia, walaupun kita tidak kaya tetapi menjadi kewajipan kita untuk berbelanja untuk mereka, dan ini adalah fardu ain kepada diri kita," sambung beliau.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan agar setiap individu yang ingin menderma perlu menyalurkan bantuan tersebut kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik dan mempunyai kelayakan.

"Bila kita ingin menderma kita perlu bijak dan melihat kepada siapa sumbangan itu diberikan, ini akibat terlalu banyak pihak yang mengambil kesempatan dalam situasi di Palestin.

"Pesanan saya mereka yang mengambil kesempatan ini perlu bertaqwa kepada Allah dan perlu ingat jika ia disalah guna ia adalah haram dan besar dosanya di sisi Allah," katanya lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: