KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa usul berhubung konflik di Gaza dapat dibahaskan sekali dalam persidangan Parlimen tergempar berkenaan tragedi MH17.
Beliau berkata, Gaza juga adalah satu lagi tragedi kemanusiaan yang memerlukan perhatian pihak antarabangsa.
Katanya, Malaysia perlu memperlihatkan ketegasan dalam isu keadilan, keamanan dan hak kemanusiaan terutama negara adalah calon kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) sudah lama mahu membawa usul itu, namun tidak dilayan kerajaan.
"Konflik di Gaza sehingga kini meragut ratusan nyawa termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Selangor Kini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat MH17, pada 17 Julai lalu.
Pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dilaporkan ditembak jatuh di Timur Ukraine.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan