MALAYSIAKINI
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memohon kepada kerajaan untuk
membenarkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap mana-mana
individu atau kumpulan yang menceroboh masuk kawasan perairan Sabah.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata cadangan
peraturan itu sebagai salah satu usaha untuk menghalang kumpulan
pengganas dari Filipina menceroboh masuk ke negara ini.
Beliau berkata peraturan sedia ada tidak membenarkan pasukan keselamatan
menembak apabila ternampak (shoot on sight) yang menghalang pasukan
keselamatan termasuk TLDM untuk membanteras kumpulan pengganas.
"Saya fikir sudah tiba masanya Peguam Negara harus memikirkan perkara
ini supaya memudahkan pengawasan untuk keselamatan perairan negara di
Pantai Timur Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden
pencerobohan terbaru di Semporna, Sabah yang mengakibatkan seorang
anggota polis marin terbunuh dan seorang lagi hilang dipercayai diculik.
Dalam kejadian Sabtu lepas, sekumpulan lapan lelaki yang lengkap
bersenjata menyerang hendap sebuah resort di Pulau Mabul dan membunuh
seorang anggota polis marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, dan menculik
Konstabel Zakia Aleip, 26.
Beliau berkata penceroboh tidak takut dengan pihak berkuasa kerana
mereka tahu pasukan itu hanya memberi amaran supaya berhenti dan tidak
akan melepaskan tembakan.
"Kalau kita bagi amaran berhenti, mereka tidak akan berbuat demikian dan
akan sentiasa berjaya melepaskan diri, oleh itu perkara ini tidak boleh
dibiarkan," katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Panglima Armada
yang baharu iaitu Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli
bagi menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid yang
bersara wajib.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan