MALAYSIAKINI
Seorang lelaki cedera parah akibat dipukul dan ditetak dengan
senjatanya sendiri ketika cuba menyamun sebuah rumah di Kampung Tanjung
Selabu, Bukit Pasir di Muar semalam.
Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, Lau Teng Siew, 43, berkata
beliau tiba-tiba ditetak dengan parang oleh suspek sebaik sahaja membuka
pintu rumahnya.
"Sebaik membuka pintu kayu itu, kepala saya terasa sakit dan darah mula
mengalir di bahagian dahi sehingga penglihatan saya menjadi samar-samar.
Tanpa berfikir panjang, saya mencapai kerusi dan memukul lelaki
bertopeng itu berulang kali hingga patah.
"Saya nekad merampas parang yang dipegang lelaki itu dan menetaknya,"
katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hospital Pakar Sultanah
Fatimah Muar petang semalam.
Menurutnya walaupun penglihatannya samar-samar, beliau dapat memukul
suspek berusia 58 tahun itu berulang kali sehingga senjatanya terlepas
dari pegangannya.
Lau berkata tindakannya itu telah mengejutkan suspek yang kemudian menjerit memintanya berhenti memukulnya.
Mangsa kemudian dibantu oleh jiran-jirannya yang menghubungi polis bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Suspek yang dirawat di hospital sama dipercayai mengalami patah tulang
rusuk kanan, cedera parah di kepala akibat ditetak dengan senjata tajam
dan cedera di kedua-dua belah tangannya.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi
mengesahkan kejadian itu, yang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun
Keseksaan atas kesalahan samun.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan