Sabtu, 19 Julai 2014

Sidang tergempar Parlimen bincang isu MH17

MALAYSIAKINI



 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine pada Khamis.

Beliau berkata sidang tergempar itu adalah bagi menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap tragedi malang itu.

Katanya Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab itu.

"Sekalipun pesawat MH17 itu dipercayai ditembak jatuh, namun buat masa ini, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sehinggalah bukti-bukti sahih dapat disahkan," kata Perdana Menteri dalam perutusan khas mengenai nahas MH17 yang disiarkan secara langsung di RTM1 malam ini.

Najib berkata beliau difahamkan bahawa kawasan berlakunya kejadian itu dikuasai dan dikawal oleh pasukan pemberontak.

"Oleh itu, kita sedang membuat pelbagai usaha termasuk saluran diplomatik dan hubungan baik Malaysia dengan negara-negara berkenaan supaya pasukan penyiasat dapat menjalankan tugasan mereka dan urusan pengurusan mangsa dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Perdana Menteri menjelaskan kerajaan Malaysia menuntut pihak-pihak yang terbabit supaya menjamin dan memastikan keselamatan pasukan penyelamat sepanjang operasi ini dijalankan.

"Kedua, kerajaan Malaysia juga mendesak pihak-pihak berkenaan agar tidak mengganggu dan mencemari bukti-bukti di tempat kejadian supaya kerja-kerja penyiasatan dapat dilakukan secara telus dan berkesan.

"Ketiga, jika siasatan membuktikan pesawat MH17  ditembak jatuh, Malaysia menuntut agar pihak yang bertanggungjawab dibawa terus ke muka pengadilan," katanya.

Najib berkata ketiga-tiga tuntutan itu telah beliau maklumkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon.

"Saya juga telah meminta Presiden Rusia Vladimir Putin untuk memberi segala kerjasama bagi mencapai hasrat tersebut," katanya.

Najib turut mengajak rakyat Malaysia bersatu hati dan mengukuhkan semangat perpaduan demi menghadapi kejadian yang menyayatkan hati ini.

"Pada detik-detik dan saat-saat yang mencarik perasaan dan sanubari serta sungguh mencabar ini, marilah kita bersatu hati, mengukuhkan semangat perpaduan sesama kita demi menghadapi kejadian yang menyayatkan hati ini.

"Semoga Allah memberi pertolongan-Nya kepada ikhtiar-ikhtiar kita untuk melalui semuanya," kata Perdana Menteri.

Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, adalah dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.

Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat. - Bernama

Tiada ulasan: