Jumaat, 4 Julai 2014

Presiden PAS, Anwar tak bincang isu MB S'gor

HARAKAHDAILY


 


KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan laporan sebuah portal kononnya berlaku perbincangan berhubung isu Menteri Besar Selangor ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Ahmad Samsuri yang turut berada di sisi Presiden PAS ketika pertemuan itu berkata, tiada langsung perbincangan berhubung perkara itu.

"Laporan itu adalah tidak benar sama sekali. Bukan sahaja tidak ada sebarang perbincangan mengenai isu Selangor antara kedua-dua pemimpin itu semasa lawatan ke IJN tempoh hari, malah perkataan 'Selangor' dan 'MB' pun tidak disebut langsung,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Penafian itu merujuk kepada laporan portal Freemalaysiatoday (FMT) hari ini yang melaporkan Tuan Guru Abdul Hadi akhirnya bersetuju dengan cadangan menukar Menteri Besar Selangor yang baharu.

Laporan itu juga menyebut, persetujuan itu dicapai ketika beliau dikunjungi Anwar di IJN baru-baru ini dan menambah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diberhentikan sebagai menteri besar selepas raya Aidilfitri.

Selain itu, laporan itu turut menyebut Adun Kajang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik menjadi menteri besar baharu manakala Adun Bukit Antarabangsa yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali akan dilantik sebagai timbalan menteri besar.

Tiada ulasan: