Ahad, 20 Julai 2014

Pasukan Malaysia belum dapat masuk tapak MH17, kata Liow

OLEH DIYANA IBRAHIM .


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) berkata walaupun kerajaan Ukraine memberi jaminan perjalanan selamat ke tapak MH17, pasukan Malaysia masih belum dapat ke sana. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 19 Julai, 2014.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) berkata walaupun kerajaan Ukraine memberi jaminan perjalanan selamat ke tapak MH17, pasukan Malaysia masih belum dapat ke sana. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 


Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa pasukan Malaysia yang kini berada di Ukraine masih belum dapat memasuki kawasan tapak pesawat MH17 yang terhempas berdekatan Rozsypne.

Menteri Pengangkutan itu berkata meskipun kerajaan Ukraine memberi jaminan akan menyediakan koridor yang selamat bagi pasukan Malaysia.

 "Sekarang ini mereka masih belum boleh masuk kawasan tersebut. "Namun kerajaan Ukraine berjanji akan memberi koridor selamat.

“Saya akan pergi ke Ukraine malam ini dan berharap dapat membantu," katanya kepada sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.

Katanya kerajaan Malaysia kini meminta sokongan dunia untuk memastikan akses ke kawasan nahas MH17 dan meminta pihak berkuasa tempatan Ukraine untuk menjamin ia tidak akan diganggu pihak lain.

 "Kita bimbang apabila tapak itu tidak dikawal dan ia senang dicerobohi oleh pihak lain.

"Kerana itu kerajaan Malaysia menghantar saya untuk berunding dengan pihak berkuasa untuk menubuhkan badan siasatan dan membantu operasi pasukan Malaysia," katanya.

"Adalah amat penting untuk memastikan integriti tapak MH17 tidak dicerobohi dan ‎apa sahaja bukti tidak dikeluarkan dari tempat kejadian

" Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa bahan bukti sudah dibawa keluar dari kawasan tapak MH17.

Malaysia menghantar lebih dari 100 anggota daripada pelbagai jabatan kerajaan dan agensi yang tiba di Kiev, awal pagi tadi.

 Pesawat MH17 yang membawa ‎298 penumpang itu terhempas selepas ditembak roket ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: