Wan Yusuf Irfan memakai uniform juruterbang milik ayahnya, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.
PETALING JAYA: “Irfan
sayangkan uniform abah, tak dapat baju raya pun tak apa.” Itulah
kata-kata Wan Yusof Irfan, anak juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia
(MAS) MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.
Lebih mesra dengan panggilan Irfan, anak bongsu daripada dua beradik
ini yang memanggil bapanya ‘abah’ tidak berharap untuk menyambut
Aidilfitri dengan meriah sejak tahun lalu.
Walaupun baru berusia 10 tahun, selain perwatakan manja dan mudah
tersentuh serta bersifat sensitif, namun pengalaman lalu yang mengubah
kehidupan keluarganya sedikit-sebanyak mengajar dirinya menjadi anak
yang lebih memahami.
“Irfan ada tanya ibu pasal baju raya baharu. Tetapi Irfan tengok ibu
sibuk nak siapkan kerja (bisnes) biskut raya. Kasihan kat ibu. Irfan tak
nak susahkan ibu, tak apalah,” katanya kepada
mStar Online, baru-baru ini.
“Lagipun, baju raya Irfan dua tahun lalu masih ada, boleh pakai
lagi,” katanya mengenai Aidilfitri terakhir bersama bapanya dua tahun
lalu sebelum nahas berlaku.
Wan Yusuf Irfan (kiri) bersama ibu, Mariyam Yusoff dan abangnya, Wan Yunus Uzair.
Kini setahun pemergian bapanya yang terbabit nahas MH17 selepas
ditembak jatuh di timur Ukraine dalam penerbangan dari Amsterdam ke
Kuala Lumpur pada 17 Julai tahun lalu. Ulang tahun pertama tragedi ini
jatuh pada Aidilfitri.
Sambil memakai uniform juruterbang kemeja putih kepunyaan bapanya
yang lengkap dengan topi dan blazer, Irfan berkata, pakaian itu menjadi
pengubat rindu di saat teringatkan arwah selain menyedekahkan
Al-Fatihah.
Walaupun riak wajahnya kelihatan teruja apabila menyarungkan uniform
peninggalan arwah bapanya, namun tiada siapa yang tahu rintihan hati
kanak-kanak ini.
“Irfan selalu pakai uniform abah. Irfan rindu sangat kat abah,” katanya.
Tragedi yang mengorbankan bapanya bersama 297 penumpang dan anak
kapal sedikit pun tidak mematahkan hasratnya untuk bergelar seorang
juruterbang suatu hari nanti.
“Irfan nak jadi ‘pilot’ (juruterbang) bila besar nanti. Irfan nak
ganti abah,” katanya mengenai cita-cita yang sudah lama disuarakan
semasa bapanya masih hidup.
Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.
Menurut Irfan, bapanya pernah berpesan supaya rajin dan cemerlang dalam peperiksaan sekiranya mahu mencapai cita-cita itu.
“Irfan akan cuba buktikan pada ibu dan abah yang Irfan boleh jadi
pilot suatu hari nanti. Irfan nak terbang ‘pusing’ satu dunia, nak bawa
ibu jalan-jalan,” katanya ceria, cuba menyembunyikan kesedihan beraya
tanpa ayah di sisi.
Sementara itu, isteri juruterbang MH17, Mariyam Yusoff pula berkata,
mempunyai baju baharu adalah kebiasaan yang diingini kanak-kanak
menjelang Aidilfitri.
Bagaimanapun kata ibu kepada seorang lagi anak, Wan Yunus Uzair, 12,
tiada persiapan raya yang dibuat tahun ini kerana mereka tiga beranak
masih lagi bersedih dengan pemergian arwah.
“Sebagai anak, sudah tentu mereka ada meminta baju raya baharu tetapi
saya sibuk untuk menyiapkan tempahan biskut raya untuk cari duit lebih
sikit. Lagipun, masih ada lagi baju yang saya belikan belum dipakai
mereka.
“Sedih memanglah sedih dengan raya kali ini seperti tahun lalu,
tetapi saya terima dengan reda.
Alhamdulillah, anak-anak masih boleh
memahami dengan keadaan sekarang yang tidak sama seperti dulu,” katanya
sayu mengenangkan nasib anak-anaknya yang akan membesar tanpa kasih
sayang seorang ayah.