Mohamad Abu Bakar Mohamad Abu Bakar


SHAH ALAM - Kelemahan negara-negara Arab dipercayai antara faktor yang mendorong Israel menyerang Gaza kini, kata Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar.

Beliau berkata, siapa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat Palestin untuk membantu mereka kerana dunia Arab semakin lemah dan berpecah-belah.

"Dulu ada Iraq tetapi Iraq sudah hancur. Syria diambang kehancuran, Mesir pula dalam keadaan tidak menentu,” katanya, semalam.

Ditanya apakah faktor penyatuan Hamas dan Fatah yang kini dalam proses untuk membentuk semula Kerajaan Perpaduan menjadi punca susulan kebimbangan Israel bahawa penyatuan itu menjejaskan mereka, katanya: "penyatuan Hamas dan Fatah hanya satu suara penyatuan kepada Palestin untuk berurusan dengan Barat dan PBB.

“Selain itu, dari segi ketenteraan tiada ada yang perlu dibimbangkan Israel. Apalah sangat ketenteraan yang ada pada Hamas dan Fatah?”

Mohamad berkata, penyatuan Hamas yang mentadbir Gaza dengan Fatah yang menguasai Tebing Barat boleh memberi kekuatan atau petunjuk baru bagi Palestin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

“Hamas yang sebelum ini dilabel sebagai pengganas oleh Barat, boleh mendapat pengesahan baru,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya pembunuhan warga Israel dan serangan roket oleh Hamas sekadar helah bagi rejim Zionis untuk melancarkan serangan.

“Berbekalkan helah yang pelbagai ini, pada zahirnya ia dilihat sebagai taktik membantutkan penyatuan Hamas dan Fatah, sedangkan strategi umum adalah untuk memastikan gerakan Palestin dihancurkan,” katanya.

Sementara itu, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak turut senada dengan Dr Mohamad bahawa negara Arab gagal mendesak rejim Zionis kerana keadaan mereka yang tidak bersatu dan berpecah-belah.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata, negara Islam khasnya di Timur Tengah sukar bersepakat dan bertindak mencapai penyatuan dalam keputusan.

“Mereka berpecah-belah berdasarkan kepada kepentingan nasional masing-masing. Malah ada yang sanggup bersekongkol dengan Israel atas dasar kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata, perdamaian hanya berlaku apabila negara Arab bersatu dan memberi tekanan kepada Israel menghentikan serangan mereka.