MALAYSIAKINI
Kementerian Wilayah Persekutuan diminta mengkaji semula cadangan
pelaksanaan tidak membenarkan pemberian bantuan kepada gelandangan di
Bukit Bintang.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk
Abdul Rahman Dahlan berkata aktiviti gelandangan adalah sesuatu yang
normal berlaku di bandar besar.
"Kita perlu pertimbangkan mengenai nasib gelandangan ini berbanding
kebersihan, bagi saya, selagi mereka tidak melakukan jenayah besar, kita
lebih harus prihatin terhadap mereka," kata beliau kepada pemberita
selepas majlis perjumpaan dan berbuka puasa dengan kakitangan
kementeriannya hari ini.
Akhbar melaporkan Kementerian Wilayah Persekutuan menetapkan bahawa
aktiviti pemberian bantuan kepada gelandangan tidak boleh dilakukan
dalam lingkungan dua kilometer dari kompleks membeli-belah Lot 10 di
Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dalam usaha membersihkan ibu negara
daripada pengemis dan gelandangan, yang dijangka bermula dua minggu
lagi.
Beliau juga berpendapat pelaksanaan tersebut perlu ditunda bersama
mekanisme lain memandangkan umat Islam kini berada di dalam bulan
Ramadan dan cadangan tersebut mendapat kecaman yang hebat daripada orang
ramai.
"Kementerian saya dan Wilayah Persekutuan banyak membuat program untuk
golongan gelandangan, dan saya faham niat Menteri Wilayah Persekutuan
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membantu golongan itu,"
katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan