Selasa, 8 Julai 2014

Khalid nafi serah surat letak jawatan MB Selangor pada Sultan [TONTON VIDEO]

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
 
 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan khabar angin yang mengatakan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Sultan Selangor.
 
"Khabar angin itu tidak benar. Saya baru sahaja menghadiri mesyuarat sebentar tadi. Petang ini pun saya ada mesyuarat lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perancangan Negeri di Bangunan Darul Ehsan, tengah hari tadi.
 
Sejak malam tadi tersebar mesej melalui aplikasi WhatsApp bahawa Khalid bakal menyerahkan surat peletakan jawatan itu, awal pagi ini.
 
Sehubungan itu Khalid meminta pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar maklumat palsu itu agar berhenti berbuat demikian.
 
"Ya, perlu dihentikan.
 
"Tidak apalah, maknanya orang yang menyebarkan itu (mesej) buang masa," ujar Khalid.
 
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sama ada tindakan itu dilakukan oleh musuh politiknya sempena pemilihan parti ini.
 
"Tidak ada masalah pada saya, tetapi hal itu tidak betul (letak jawatan).
 
"Memandangkan ini bulan puasa, saya tidak boleh bercakap apa-apa yang tidak benar," katanya.
 
Sejak jam 9 pagi tadi sekumpulan wartawan dan jurugambar menunggu kehadiran Khalid di Istana Bukit Kayangan selepas dikatakan bakal melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Kelibatnya bagaimanapun tidak kelihatan. Malah mereka diberitahu beberapa orang pengawal istana bahawa mereka tidak mendapat sebarang maklumat berkenaan hal itu.
 
Selain Istana Kayangan, wartawan dan jurugambar berkumpul di Istana Mestika, Shah Alam.
 
Selepas beberapa jam menunggu tanpa hasil, mereka kemudiannya bergegas ke Bangunan Darul Ehsan (SUK II) apabila diberitahu Khalid hadir ke Mesyuarat Perancangan Negeri.
 
Kira-kira jam 11.30 pagi tadi, tersebar pula berita terkini (flash) yang mengatakan Khalid sudah menghantar surat perletakan jawatan dan Exco Kerajaan Negeri, Iskandar Abdul Samad bakal mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada jam 2 petang nanti.
 
Bagaimanapun Iskandar ketika ditanya menafikan dakwaan itu.
 
Tidak lama kemudian, Bernama tampil dengan satu kenyataan melalui laman mikro Twitter dengan mendakwa ada pihak sengaja menggunakan nama organisasi berita itu.
 
"Bernama telah mengesan ada pihak tertentu menggunakan namanya untuk menyebarkan berita palsu mengenai perletakan jawatan MB Selangor," demikian dipetik.
 
LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: