Khamis, 17 Julai 2014

Keselamatan di Sabah terkawal, jangan percaya khabar angin

BERNAMA


KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menegaskan keadaan keselamatan di Sabah, khususnya di pantai timur adalah terkawal dan meminta rakyat tidak mempercayai khabar angin yang tersebar dalam laman sosial.
  
Sambil menafikan dakwaan kononnya keadaan keselamatan di Sabah terancam dan bakal berlaku pencerobohan di pantai timur negeri ini, beliau berkata polis sedang menyiasat dalang yang menyebarkan berita palsu itu.
  
"Mohon masyarakat dan rakyat Sabah jangan dengar berita palsu yang sengaja dibuat untuk menakutkan orang ramai. Pihak agensi keselamatan mampu untuk mengawal keadaan jika berlaku apa jua kemungkinan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau mengulas tentang penyebaran khabar angin dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp berhubung keadaan keselamatan di Sabah, selepas majlis penyerahan kuih raya Aidilfitri untuk anggota pasukan keselamatan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
  
Berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam bahawa polis akan mengumumkan perintah berkurung sepanjang 1,400 km perairan pantai timur Sabah dalam tempoh 48 jam, Jalaluddin berkata pihaknya sudah bersiap sedia untuk melaksanakan perintah itu.
  
"Kami mengadakan mesyuarat hari ini di Semporna untuk membincangkan pelbagai perkara (isu keselamatan termasuk perintah berkurung)...sudah tentu kami sudah bersedia," katanya.
  
Perintah berkurung itu akan berkuat kuasa pada masa tertentu dari perairan antarabangsa sehingga ke perairan Timur Sabah bagi mengelak penceroboh dan penculik memasuki negeri itu.
  
Ini susulan insiden serang hendap oleh sekumpulan lapan individu bersenjata berat di Pulau Mabul, Semporna Sabtu lepas yang menyebabkan Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, maut manakala rakannya, Konstabel Zakia Ali, 26, diculik. - Bernama 

Tiada ulasan: