IPOH: Pemuda PAS Negeri Perak akan menganjurkan satu himpunan aman tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin yang sedang dibedil oleh tentera zionis laknatullah.
Himpunan tersebut akan diadakan pada 11 Julai 2014 (esok) di Masjid Negeri, Ipoh Perak sebaik selesai sahaja menunaikan solat Jumaat.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Mohd Syamsul Alauddin berkata, penganjuran tersebut adalah tanda kebersamaan rakyat Malaysia terhadap saudara Islam di Gaza yang sedang dizalimi tanpa perikemanusiaan oleh regim zionis yang menyerang bertubi-tubi sejak beberapa hari lalu hingga mengakibatkan puluhan terkorban serta ratusan cedera.
Menurutnya, Pemuda PAS Perak selari dengan pendirian PAS Pusat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan regim zionis dan dalam masa yang sama melahirkan kekecewaan dengan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang langsung tidak memberi respons terhadap tindakan terbaharu rejim itu.
"Rakyat Malaysia seharusnya memberikan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin dan dengan himpunan solidariti ini adalah usaha kerdil yang boleh dizahirkan tanda kebersamaan rakyat Malaysia terhadap umat Islam di Gaza," katanya kepada Harakahdaily.
Oleh yang demikian, Syamsul berkata, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat untuk hadir serta meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama menzahirkan suara kemanusiaan demi rakyat Palestin yang sentiasa dekat dengan hati serta sanubari umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan