Isnin, 21 Julai 2014

Amaran angin kencang di Sabah berikutan Taufan Matmo

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan hari ini berikutan Taufan Matmo yang dikesan kira-kira 1,487 kilometer ke timur laut Sandakan, Sabah pada jam 5 pagi tadi. 
 
Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan satu kenyataan bahawa taufan itu dikesan pada Latitud 12.1 U dan Longitud 130.0 T dan bergerak ke arah barat laut dengan perlahan. 
 
Berikutan itu, angin kencang barat daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Palawan, Reef North, Condore, Kudat dan Layang-Layang dijangka berterusan sehingga Khamis. 
 
Sementara itu, kawasan perairan Perlis dan Kedah juga dijangka mengalami keadaan yang sama manakala di kawasan perairan Phuket, angin kencang dijangka berterusan sehingga esok. 
 
Menurut kenyataan itu, ribut petir yang berlaku di perairan Sandakan, Sabah juga dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini. 
 
Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut. 

Tiada ulasan: