Khamis, 24 Julai 2014

Al-Quran 'Halimunan' Tarikan Pameran Antarabangsa

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
AL-QURAN 'halimuman' menjadi antara objek paling menarik dipamerkan di Pameran al-Quran Antarabangsa ke-22 diadakan di Teheran, Iran ketika ini.

Naskhah itu ditulis dengan tinta emas tetapi kalimahnya tidak akan dapat dilihat dengan mata biasa, sebaliknya perlu dibaca di bawah sinaran cahaya khas. 

Sebuah laman web melaporkan, naskhah istimewa itu ditulis Mohsen Khanjari Anbouhi dan menjadi al-Quran pertama ditulis dengan dakwat khas yang tidak boleh dibaca secara biasa. 

Laman web itu berkata, tulisan berkenaan dihasilkan menggunakan teknologi nano digabungkan dengan dakwat emas asli. 
Jurucakap penganjur berkata, dakwat unik itu hanya dapat dilihat di bawah sinar inframerah. 

Naskah itu ditulis mengikut rasm Uthman dan setiap halaman berukuran 29 sentimeter kali 20 sentimeter. 

Kata jurucakap itu, selepas pameran berakhir Mohsen mungkin menyumbang naskhah berkenaan ke sebuah pertubuhan kebajikan, Astan Quds Razavi di Mashhad, Iran.

Pameran al-Quran Antarabangsa Teheran itu diadakan setiap Ramadan untuk mengembangkan dan mempromosikan al-Quran. 

Tahun ini, pameran tersebut banyak menarik perhatian, termasuk di kalangan artis Iran.

Sebanyak 16 perwakilan menyertai pameran itu termasuk dari Sepanyol, Russia, Kuwait, Palestin, Algeria, Tunisia, Malaysia, India, Pakistan, dan Turki.

Tiada ulasan: