Isnin, 21 Julai 2014

Ahli Parti Gerakan salah seorang penumpang MH17


 
Dr. Mah harap agar semua pihak jaga hati keluarga dan rakan-rakan penumpang MH17


Mah-Siew-KeongCHERAS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr. Mah Siew Keong membidas kenyataan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaaiat berhubung kenyataan beliau yang menyalahkan MAS atas insiden MH17.

“Saya harap individu berkenaan tidak menuding jari pada mana-mana pihak pada masa sekarang. Jangan politikkan isu sebegini, ini bukan masanya untuk mencari kesalahan orang lain. Jaga hati keluarga dan rakan kepada penumpang-penumpang MH17.

“Ini juga ditujukan kepada semua pengguna laman sosial di luar sana, bayangkan jika keluarga atau rakan anda di dalam pesawat terbabit, cuba letakkan diri anda di dalam situasi tersebut seketika,” katanya yang ditemui di pejabat Parti Gerakan semalam.

Menurut Mah, salah seorang penumpang yang berada di dalam pesawat MH17 merupakan Delegasi Pemuda Kebangsaan Parti Gerakan cabang Kota Damansara iaitu Liew Yau Chee.

“Saya mewakili parti Gerakan amat berdukacita atas insiden MH17 kerana salah seorang penumpang merupakan ahli parti Gerakan. Beliau menyertai parti pada 30 November 2004. Setiausaha Agung parti Gerakan akan melawat keluarga beliau bagi memberi kata-kata semangat hari ini juga.

“Seperti apa yang Perdana Menteri katakan, saya harap, pihak yang bertanggungjawab dalam insiden ini dibawa ke muka pengadilan. Insiden tragis ini meragut 298 nyawa yang tidak bersalah.

“Saya cadangkan agar kotak hitam pesawat MH17 dibawa pulang ke Malaysia agar siasatan yang lebih telus dapat dilakukan oleh pakar. Kotak hitam itu merupakan kepunyaan kapal terbang penerbangan Malaysia, ada baiknya jika siasatan dilakukan di sini,” katanya.

Berhubung dengan khabar angin yang mengatakan Menteri Besar Selangor bakal meletakkan jawatan selepas hari raya Aidilfitri, Mah turut memberi kenyataan.

“Pendapat peribadi saya, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu kekal sebagai Menteri Besar sehingga PRU-14. Saya tiada masalah untuk memilih beliau sebagai MB Selangor memandangkan pentadbiran di bawah pimpinan beliau agak ‘boleh tahan’ berbanding pemimpin tertinggi lain di dalam PKR,” ujarnya ringkas.

Tiada ulasan: