Jumaat, 12 April 2013

Ummi Hafilda yakin dapat mengalahkan Azmin, jika diberi peluang

Oleh Opalyn Mok
 
 Ummi Hafilda terkenal kerana peranannya sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. – Gambar oleh K.E.OoiBALIK PULAU— Ummi Hafilda Ali yakin akan menang besar jika diletakkan melawan abangnya Mohamed Azmin Ali di kerusi parlimen Gombak dalam pilihan raya 5 Mei akan datang.

“Tiada siapa yang mengenalinya lebih dari adik beradik dan keluarga jadi dengan pengetahuan kami tentang beliau, saya yakin mampu mengalahkannya jika Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan untuk meletakkan saya sebagai calon untuk melawan Azmin,” katanya.

Ummi Hafilda yang terkenal kerana peranannya sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 telah berkempen secara aktif melawan Anwar, Azmin dan PKR.

Azmin adalah abang beliau yang merupakan Timbalan Presiden PKR, penyandang ahli parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa.

“Walaupun Najib tidak memilih saya sebagai calon melawan Azmin, saya akan terus dengan misi untuk mendedahkan kebenaran tentang Anwar, Azmin dan PKR,” katanya dalam sidang akhbar selepas memberikan dua ceramah di Kuala Sungai Pinang di sini.

Sejak dua bulan lalu, Ummi Hafilda telah menjelajah ke seluruh negara untuk berceramah dalam kempennya untuk menentang Anwar, Azmin dan PKR.

“Saya telah berhadapan dengan Anwar secara langsung sembilan kali dalam 15 tahun ini dan setiap kali, beliau melarikan diri daripada saya jadi saya akan terus mengikut kempennya dalam tempoh pilihan raya ini,” kata ahli Umno itu.

Ummni Hafilda mendakwa Anwar gagal untuk menerima cabarannya bagi berdebat dan sekali lagi mencabar Anwar untuk menyamannya.

“Saya mahu Anwar menyaman saya agar boleh mengeluarkan bukti kesalahan Anwar,” katanya.

Ummi Hafilda turut mendakwa beliau membawa gerakan perubahan dengan ceramahnya yang seringkali dihadiri oleh ribuan orang.

Malam semalam adalah ceramah keduanya di Pulau Pinang dan dihadiri oleh 200 orang.

Beliau sudah memberikan ceramah di Permatang Pauh dan malam ini beliau akan berceramah di Kepala Batas.

Wanita lantang yang mengatakan Anwar mempunyai dua orientasi seks menggelar ketua pembangkang itu Bapa Rasuah dalam ceramahnya, menghiburkan hadirin dengan lawak-lawak dan anekdot tentang Anwar.

Beliau juga memuji program transformasi Najib dan menggelar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin “bermoral dan beretika”.

Wanita berumur 46 tahun itu telah menubuhkan badan bukan kerajaan Sri Kandi 7 yang mengkhususkan untuk melawan Anwar.

“Selepas pilihan raya, NGO ini akan fokus kepada pembangunan dan kebajikan sosial orang Melayu,” katanya.

Beliau mendakwa organisasi yang ditubuhkan dua tahun lalu telah menjana ribuan orang setiap kali beliau berceramah.

“Saya akan teruskan kempen saya melawan Anwar, Azmin dan PKR sehingga saya musnahkan pengkhianat negara itu,” katanya.

Tiada ulasan: