Isnin, 22 April 2013

Pulangkan RTM kepada rakyat



Oleh Muhammad Ismi Mat Taib

Pilihanraya sebenarnya adalah kemuncak kepada amalan Demokrasi di Malaysia.UMNO dan Barisan Nasional akhirnya akur dan merendah diri apabila mereka sanggup “menuntut ilmu” daripada Pakatan Rakyat mengenai cara-cara ingin membuat Manifesto. 

Namun, tidak cukup dengan ilmu menawarkan manifesto, Umno BN juga perlu belajar bagaimana ingin melaksanakan manifesto tersebut. Jika kaedah urustadbir sedia ada yang diteruskan oleh BN, maka manifesto tersebut tidak akan dapat memberikan kesan yang dimahukan oleh rakyat.

Manifesto Pakatan Rakyat wujud disebabkan oleh keinginan rakyat untuk melihat sebuah kerajaan yang adil, telus dan berkebajikan.

Inilah mesej utama dalam manifesto Pakatan Rakyat. Jika konsep ini gagal difahami oleh Umno BN, maka negara akan tetap terus mundur dan keadaan ekonomi negara akan semakin teruk terjejas.

Mangsa utama kepada risiko ini adalah rakyat. Justeru, Rakyat perlu bijak dalam memilih “pagar”. Jangan sampai, harapkan pagar, pagar yang makan padi.

Bukti utama kegagalan Umno BN ialah mengembalikan fungsi Radio Televisyen Malaysia (RTM) kepada fungsi asalnya iaitu menjadi jentera penerangan Kerajaan.

Sebaliknya RTM terus menjadi jentera penerangan Umno BN seolah-olah mereka sahaja yang bertanding di dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) kali ini.

Kegagalan fungsi ini sudah jelas menunjukkan bahawa Umno BN tidak mahu berubah dan sentiasa akan berlaku zalim kepada harta dan hak rakyat.

Saya, sebagai rakyat Malaysia yang dijamin hak untuk memilih dan dipilih dalam PRU13, mencabar RTM dan Umno BN sendiri untuk mengembalikan fungsi media yang bertanggungjawab membekalkan maklumat yang cukup kepada rakyat untuk membuat penilaian.

Monopoli media oleh Umno BN hanya akan menimbulkan perasaan jelek rakyat yang kini sudah tidak lagi mahu dipermainkan.

*Penulis adalah Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat dan juga Calon Parlimen Parit.

Tiada ulasan: