Jumaat, 5 April 2013

PRU13: PAS Terengganu tanding 7 kerusi Parlimen

Khairul Azlam Mohamad,




KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu akan bertanding tujuh kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Pesuruhjayanya, Mohd Abdul Wahid Endut mengumumkan perkara tersebut paad sidang media di Pejabat PAS negeri, hari ini.

Katanya, PAS membuat keputusan tersebut setelah dipersetujui dalam perbincangan Pakatan Rakyat di peringkat pusat.

“Saya juga ingin maklumkan bahawa kita telah membuat keputusan setelah dipersetujui oleh Pakatan Rakyat, kita (PAS) akan bertanding di Terengganu ini tujuh kerusi parlimen daripada lapan kerusi parlimen.

“Insya Allah, jika tidak ada aral melintang pada 11 April 2013 ini, hari Khamis malam Jumaat bertempat di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang kita akan umumkan secara rasmi calon-calon kita yang mewakili parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13,” jelasnya di hadapan 15 wakil media.

Menurutnya, pengumuman calon PAS itu akan diadakan bersekali dengan PKR yang bertanding pada pilihan raya tersebut.

Beliau turut mengumumkan 40 peratus daripada calon PAS adalah muka baru yang bakal mewarnai pentas politik PAS.

Bahkan, katanya terdapat juga calon di kalangan wanita yang bertanding atas tiket PAS sebagai tanda penghargaan parti terhadap golongan berkenaan.

“Insya Allah, jika tidak ada apa-apa masalah akan dikemukakan calon di kalangan wanita. Ini sebagai semangat untuk kaum wanita,” ujarnya.

Tiada ulasan: