Rabu, 17 April 2013

NEGERI LEBIH KENAL CALON DUN, TROPICANA PERLU REALISTIK BUAT KEPUTUSAN

WFAUDZIN NS

DIFAHAMKAN perebutan kerusi Parlimen Bera, Pahang sudah selesai apabila PAS Pusat bersetuju untuk menyerahkan Parlimen tersebut kepada KEADILAN melalui calonnya, Sdr Zakaria Abdul Hamid, bekas Pengerusi KEADILAN Pahang yang kini adalah Ahli MPP dan juga Timbalan JPRP. 

Meskipun keputusan PAS Pusat tersebut dianggap 'kontroversi' di mana dikatakan PAS kawasan tetap menaruh minat untuk bertanding di situ, namun bak kata Us Tuan Ibrahim sesiapa sahaja yang menjadi calon tanpa restu PAS Pusat akan dipecat dari keahlian PAS.  Syarat ini juga digunapakai oleh parti KEADILAN dan juga DAP.  Disiplin ahli parti mestilah diletakkan di atas segala-galanya apatah lagi PAS yang selama ini kukuh dan kuat kerana amalan 'Wala'' kepada keputusan parti.

Apakah yang berlaku selepas ini kita tunggu samada terdapat ahli PAS yang tidak lagi menghormati keputusan parti.  KEADILAN sering dianggap tamak haloba kononnya 'mencuri' hak orang.  Peliknya, tamak haloba KEADILAN sehingga melepaskan Bentong kepada DAP dan terlepas juga Dun Ketari yang asalnya mahu diminta oleh KEADILAN?  Begitu juga Dun Damak, KEADILAN 'rela' serah kepada DAP.  Di Pahang, KEADILAN kini sudah kurang satu kerusi Parlimen iaitu Bentong.  Bagaimana 'si tamak' boleh kurang kerusi, sedangkan sepatutnya mestilah kerusi bertambah?

Itu belum dikira 'sedekah' KEADILAN kepada DAP di Gelang Patah dan beberapa kawasan lain.  Ini semua adalah strategi PR berdasarkan keperluan semasa.  Parlimen Bera bukanlah kawasan yang dianggap 'selamat' buat KEADILAN berbanding Temerloh mahupun Jerantut, namun KEADILAN bersedia ditempatkan di situ dan Sdr Zakaria beserta para penyokong dan jenteranya kini telah bersedia untuk bertempur di kawasan yang dahulunya ditandingi oleh PAS melalui Sdr Mazlan Aliman, Pengerusi ANAK.  Aku yakin kekuatan jentera walaupun baru dibina oleh Sdr Zakaria mampu membuat kejutan kali ini di Bera.  Syabas kepada PAS Pusat yang redha kerusi ini ditandingi oleh KEADILAN kali ini.

Apakah isu kerusi di Pahang selesai sudah?  Pembahagian kerusi di antara PR di Pahang bolehlah dianggap selesai sekarang.  Namun, khabar angin menyebut terdapat beberapa kerusi Dun yang diperuntukkan kepada KEADILAN menjadi 'kontroversi' pula.  Kali ini bukan perebutan di antara PR, tetapi percaturan 'luar biasa' dari pimpinan KEADILAN di luar Pahang yang memungkinkan calon yang telah bersedia untuk bertempur bakal tersingkir.  Jika ini benar-benar berlaku, amat malang sekali kerana sewajarnya calon di kerusi Dun mestilah dipersetujui serta mendapat 'keredhaan' dari pimpinan negeri terlebih dahulu.  Bukankah pimpinan negeri lebih kenal ahli-ahli atau calon di negeri berkenaan?  Tropicana mungkin kurang mengenali calon-calon ini berbanding Negeri. 

Memang benar, sebagai ahli parti kita mesti akur dengan keputusan parti walaupun parti mengambil keputusan meletakkan 'tunggul kayu' sebagai calon.  Tetapi pihak atasan juga jangan mengambil remeh atau mengambil kesempatan di atas kebangkitran rakyat sekarang yang mahu melakukan perubahan, maka sewenang-wenangnya mencatur calon-calon yang mereka mahu.  Aku tidak setuju jika calon yang tidak terpilih bertanding Bebas kerana bagi aku itu khianat kepada parti.  Tetapi aku beranggapan memilih calon yang tidak bekerja dan menolak calon yang telah diakui oleh Negeri calon yang terbaik dan telah melaksanakan kerja, itu juga dikira 'khianat' kepada parti.

Memang benar, tidak semua pandangan negeri itu betul tetapi cubalah turun ke akar umbi dan siasat sendiri sebelum membuat pilihan dari jauh.  Aku harap pandangan Negeri tidak dipermudahkan kerana di Pahang khususnya Negeri sering akur dan taat kepada Pusat walaupun kadangkala terguris di hati apabila melihat kerusi terlepas.  Kali ini cubalah Pusat pula belajar menghormari pandangan Negeri.  Di Pahang, KEADILAN di dalam merawat 'luka' lama dan janganlah dicipta 'luka' baru yang risikonya bukan sedikit untuk ditanggung.

Tiada ulasan: