Tuan Guru Abdul Hadi Awang, |
Peristiwa berdarah di Lahad Datu menjadi ujian kebijaksanaan kerajaan dan kesetiaan seluruh rakyat terhadap negara. Walau pun berbeza kaum, agama dan fahaman politik, namun tugas mempertahankan negara apabila diceroboh dan keselamatannya diganggu gugat adalah kewajipan bersama mengikut agama, adat dan akal yang waras. Maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan seluruh ahlinya mendoakan Allah melimpahkan rahmat kepada anggota keselamatan yang terkorban dan dimasukkan ke dalam kalangan para syuhada, sekurang-kurangnya syahid akhirat dan disembuhkan mereka yang tercedera, serta dikembalikan keamanan dan keselamatan negara.
Walau bagaimana pun muhasabah wajib dilakukan terhadap kerajaan yang diamanahkan menjaga keselamatan negara. Dalam hal ini pihak tentera dan polis tidak boleh dipersalahkan, kerana banyak asas dari sudut politik yang kukuh menunjukan bahawa peristiwa seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Pasukan keselamatan juga tidak sepatutnya menjadi mangsa korban musuh yang tercipta dengan sebab kecuaian politik mereka yang memimpin negara sejak mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun yang lalu.
Persoalan asas yang kita ingin tanya ialah: “Mengapa asas keharmonian yang sedia ada di daerah itu tidak dijaga dan dibina dengan baik?”
Hakikatnya ialah, kedudukan serantau, kejiranan, serumpun, sekelurga dan seagama cuma dipisahkan oleh sempadan geografi dua negara. Malaysia mempunyai hubungan kejiranan dengan Filipina, dan sama-sama menjadi anggota Asean sejak penubuhannya pada 8 Ogos 1967 lagi.
Orang-orang Suluk, atau grup etnik Tausug pula mempunyai hubungan keluarga, agama dan budaya yang sama dengan sebahagian besar penduduk keturunan Sulu di Sabah yang sukar dipisahkan. Hubungan rapat ini menjadikan aktiviti keluar masuk antara rakyat kedua-dua negara berada pada kedudukan yang paling sukar untuk dikawal secara keras oleh pasukan keselamatan yang bertugas.
Tragedi ini berlaku kerana pihak politik yang berkuasa tidak menyelesaikan akar-usul masalah ini secara bijaksanaan sehingga berlakulah kemalangan yang sangat menyayat hati itu. Di samping kemarahan membara terhadap penceroboh yang tidak beretika, namun sifat kemanusiaan tetap berada dalam setiap orang yang berperasaan.
Muhasabah wajib dilakukan dengan meneliti dan memahami kerana beberapa perkara.
Pertama, pemisahan secara sempadan negara yang berbeza dimulakan oleh penjajah asing terhadap rantau ini. Mereka sengaja meninggalkan bom jangka selepas mereka meninggalkan tanah jajahan dengan niat jahat, setelah mereka melaksanakan agenda pecah dan perintah di zaman penjajahan dahulu. Bukan sahaja pembahagian rantau ini di antara penjajah Inggeris, Belanda dan Sepanyol dan selepasnya Amerika juga mengambil tempat di Filipina secara khusus.
Kedua, perjanjian juga dibuat oleh penjajah ini secara menipu sultan-sultan dan raja-raja yang dilemah dan dihilangkan kedaulatannya.
Ketiga, setelah masing-masing mencapai kemerdekaan dengan negara yang berbeza dan mempunyai kedaulatannya, mengapa segala syarat perjanjian yang sudah lapuk di zaman penjajah yang sudah pulang ke negeri masing-masing, dengan pihak yang sudah diletakkan dalam lipatan sejarah masih lagi wujud? Mengapakah pihak kerajaan dalam negara kita ini masih menghidupkan lagi perjanjian seperti ini?
Keempat, negara Malaysia dan Filipina pula yang terlibat secara langsung dalam perjanjian damai yang memberi kuasa autonomi kepada bangsa Moro di Mindanao. Mengapa terlepas pandang terhadap wilayah dan kepulauan yang lain bersamanya, sehingga penyelesaiannya tidak lengkap dan masalahnya tidak selesai?
Perkembangan pendidikan, ekonomi dan sosial terbiar dan terus terbiar, kerana kerajaan Umno BN lebih menumpukan kepentingan politik mengejar kerusi mendapat takhta dan harta semata-mata, tanpa perhatian terhadap pendidikan, ekonomi dan sosial di kawasan berkenaan. Rakyat miskin terus di rumah dalam air sejak turun temurun, hanya segelintir di daratan dengan kemudahan yang terhad tanpa penyelesaian. Semua kecuaian tanpa cakna ini boleh menempah kesan negatif dalam kehidupan dan boleh mencetuskan ketegangan berbagai kaum. Semua perkara ini perlu dimuhasabah dengan adil dan ikhlas walaupun tercalar diri sendiri.
Tindakan ketenteraan mempertahankan kedaulatan negara, langkah menjaga keselamatan rakyat wajib dilaksanakan dengan berhemat, dalam masa yang sama jalinan hubungan tersebut di atas wajib diperbetulkan. Jangan ikut contoh buruk yang pernah dilakukan oleh penjajah semasa darurat dahulu, penyelesaiannya secara mengepung dan memaksa semata-mata tanpa pendekatan yang lain. Perlu difahami bahawa perasaan manusia tidak boleh dikepung dan dikongkong sepanjang masa, walau pun jasadnya dikepung dan dikongkong secara paksaan.
Peristiwa 13 Mei 1969 wajar menjadi iktibar apabila ianya ditangani sendiri oleh pemimpin di masa itu. Ditubuhkan Jawatankuasa Muhibbah melibatkan kerajaan dan seluruh pemimpin masyarakat, agama dan kaum yang berpengaruh tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan politik. Seterusnya ditangani secara politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Konfrantasi dengan Indonesia juga dapat ditamatkan dengan pendekatan ini, walau pun ada yang terkoban dan cedera, akhirnya berakhir dengan damai tanpa dendam.
Janganlah pihak kerajaan Umno BN terus menerus berdegil tidak mengaku kesilapan atau mahu menangguk di air keruh, kerana kedua-duanya akan menenggelamkan kita semua, atau laksana Pakistan yang melahirkan Bangladesh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan