Rabu, 24 April 2013

Ketua Pemuda BN Terengganu: 'Henti tayang video lucah'

W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN

Ketua Pemuda BN Terengganu: 'Henti tayang video lucah'
Dari kanan, Badrol Hisham dan Saiful Bahri pada sidang media selepas membuat laporan polis, semalam
 
KUALA TERENGGANU – “Jika saya dapati ada berlaku perkara ini, memang sewajarnya Pemuda Barisan Nasional (BN) dan pimpinan akan beri arahan supaya hentikan.”

Demikian tegas Ketua Pemuda BN Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin ketika mengulas mengenai isu penayangan video lucah yang dikatakan galak ditayangkan di markas BN di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu menjelang kempen pilihan raya.

Video yang dikatakan mirip Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bersama pasangannya dalam sebuah hotel itu dikatakan ditayangkan secara terbuka dalam ceramah BN di tiga kawasan terbabit sejak kempen pilihan raya berlangsung.

Saiful Bahri yang juga Ketua Pemuda Umno Terengganu berkata, penayangan video itu dilihat boleh mencemar imej dan peribadi seseorang.

“Sewajarnya bagi pihak BN, kita memang tidak menggalakkan atau menegah atau menghalang individu atau orang ramai menayangkan filem video kerana ia boleh mencemar imej peribadi seseorang. Kita memang mencegah perkara itu daripada berlaku,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki menjelaskan tidak mendapat maklumat mengenai perkara itu.

Beliau turut mengakui tidak tahu menahu mengenai sebarang tayangan video sedemikian dan menganggap tindakan penayangan secara terbuka tidak mungkin dilakukan BN.

“Setakat yang saya tahu kita tidak pernah menayangkan apa-apa gambar atau filem berkaitan. Kalau secara persendirian itu kita tidak boleh nak kata apa tetapi dalam ceramah atau secara terbuka tidak mungkin.

“Kita tidak mahu sesuatu yang boleh menimbulkan masalah terutamanya dari sudut kesalahan atau dari sudut keselamatan yang kalau menayangkan filem sebegitu menyalahi peraturan dan undang-undang. Tidak mungkin kita buat sesuatu yang menyalahi peraturan,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pemuda Umno berkata, arahan penayangan video berkenaan juga tidak pernah dikeluarkan BN untuk tujuan menjatuhkan mana-mana pihak lawan.

“Memang kita tidak pernah keluarkan arahan. Saya sendiri tidak pernah melihat video berkenaan, jadi macam mana kita terfikir untuk tayang. Kalau benar sekalipun, ia boleh mengaibkan seseorang, Islam pun mengharamkan membuka aib orang,” katanya.

Tiada ulasan: