Dalam kolum Simpul Mati, akhbar INIKALILAH terbitan 24-30 April lalu, saya merakamkan pengalaman dan gelodak rasa pada hari penamaan calon PRU13, khususnya semasa mengikuti dari dekat calon PAS di Putrajaya, Husam Musa. Personaliti Naib Presiden PAS ini ternyata menimbulkan kegusaran jentera kempen BN, termasuk calonnya Tengku Adnan Tengku Mansor.
Secara logiknya, Husam hampir pasti kalah, tetapi penampilannya di pusat pentadbiran negara itu dilihat bakal membongkar banyak isu yang terpendam di sana, sama ada masalah seharian warga Putrajaya atau lebih digeruni Umno ialah akses anak kebanggaan Kelantan ini kepada sumber maklumat.
(Saya difahamkan kemudiannya bahawa jentera kempen PAS berdepan pelbagai bentuk sabotaj dan aksi ganas-samseng, termasuk kesukaran untuk memasang bendera dan poster. Umno sengaja mendedahkan kepada dunia; tindakan barbarik tidak bertamadun penggerak partinya bukan hanya di kawasan pendalaman seperti penempatan Felda atau kampung tradisi tetapi membarah di kota-kota besar).
Umum mengakui ragam politik pada pagi Sabtu itu begitu meriah, menarik (juga mengejutkan) dan mencatat rekod bukan saja dari segi pertambahan jumlah calon Bebas, tetapi turut menyaksikan pertembungan dalaman kedua-dua gabungan parti, BN dan Pakatan Rakyat.
Kemelut dalaman Pakatan cepat diselesaikan. Walaupun reaksi akar umbi di kawasan tertentu tidak mudah dikendurkan dalam masa singkat, namun ia jauh berbeda dengan krisis dalaman Umno yang berpanjangan dan juga perselisihan di antara parti-parti komponen BN, yang dijangka membawa natijah lebih buruk kepada prestasi BN pada 5 Mei nanti.
Seperti orang lain juga, saya agak terkejut dengan barisan calon "boleh menang" yang diputuskan Najib Razak sendiri. Sehingga hari ini saya belum dapat memahami mengapa Zulkifli Nordin boleh dipilih BN di Shah Alam, pusat pentadbiran negeri termaju.
Semakin payah saya mencari alasan bagaimana calon BN di Pasir Mas, Che Johan Che Pa boleh memberi laluan kepada Ibrahim Ali. Zulkifli dan Ibrahim merupakan dua pemimpin utama Perkasa. Kalau diikutkan pengaruh, apalah yang ada lagi pada Ibrahim, calon Bebas yang pernah hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, 2005? Melainkan saya terpaksa merumuskan bahawa semua itu membuktikan pengaruh Dr Mahathir Mohamad begitu mencengkam dalam Umno.
Lim Kit Siang pula berkata, pemilihan Zulkifli dan memberi laluan kepada Ibrahim, menunjukkan Dr Mahathir mempunyai "kuasa mutlak" dalam Umno, termasuk "satu hari nanti beliau akan meletakkan Ibrahim sebagai perdana menteri". "Perkasa sudah menjadi parti komponen ke-14 dalam BN," katanya.
Apa pun, sebagai pengamal media, saya lebih suka meneliti situasi kempen, terutama jika ia bercanggah dengan amalan demokrasi, mencabuli adab dan peraturan serta mengetepikan etika. Paling penting, mengapa selepas dilipatgandakan tuntutan Bersih, termasuk melalui siri himpuna raksasa, namun amalan rasuah dan "beli undi" terus berleluasa semasa kempen, manakala akses media untuk parti-parti bertanding selain BN, semakin disekat.
II. Agus yakin Pakatan menang PRU13?
Petang Isnin lalu, selepas beberapa kali temujanji dengan penganalisis politik, Dr Mohamnad Agus Yusoff tertangguh, dalam curahan hujan lebat saya gagahi juga ke rumahnya, di Bandar Baru Bangi. Saya ditemani pengendali kolum sastera-budaya Harakah, Ali Bukhari Amir.
Tentulah topik utama tertumpu kepada perkembangan mutakhir kempen PRU13. Semasa seronok bersembang, Dr Agus menjawab panggilan telefon. Dari nada dan butir percakapannya, pensyarah kanan sains politik UKM ini seperti berbicara dengan wartawan.
"Banyak pertanyaan saya terima mengenai ramainya calon Bebas kali ini," katanya mengesahkan andaian saya panggilan itu daripada wartawan yang memburu berita. "Bagi saya, ia biasa saja. Yang hendak saya tekankan, kali ini rakyat tidak mahu bazirkan undi mereka, terutama kepada calon-calon Bebas."
"Ya, saya suka istilah itu, tidak berlaku lagi pembaziran undi walaupun ramai juga nama-nama besar yang bertanding sebagai calon Bebas," pintas saya.
PRU13, kata Dr Agus, adalah peluang terbaik untuk rakyat melakukan perubahan, dan ia bukan lagi persoalan mengenai calon-calon. "Maknanya, kali ini pengundi lebih mementingkan parti berbanding personaliti calon?" tanya saya. "Ya."
"Pilihan raya kali ini di antara dua parti besar, kedua-duanya, BN dan Pakatan, mempunyai potensi dan sumber yang tidak jauh berbeda, dengan aras padang permainan hampir sama rata," tambah Dr Agus. "Dan saya dapat rasa wujud kesedaran besar yang agak menyeluruh bagi mengubah kerajaan di peringkat persekutuan."
Ditanya pandangan profesor politik tertentu yang meramalkan BN mampu menang besar, termasuk memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen, Dr Agus segera membidas: "Usah berselindung di sebalik kedudukan sebagai ahli akademik, isytihar saja sebagai jurucakap parti, 'kan senang."
Beliau menyifatkan ada di kalangan mereka seperti ayam daging yang sudah dibiasakan dengan dedak.
"Ayam ini, jika terlepas dari kurungan, tidak akan melarikan diri kerana ia menunggu dedak seterusnya walaupun tahu akan disembelih akhirnya," ujarnya.
Saya sejak lama menghormati pandangan Dr Agus dan seringkali merujuk kepadanya terutama sebagai panduan untuk menulis komentar politik. Ada kelainan dalam ulasannya, tentunya disebabkan setiap analisisnya tidak dibuat sembrono, malah lebih penting, boleh dipertanggungjawabkan.
Saya perhatikan, walaupun beliau menyedari Pakatan Rakyat juga mempunyai kelemahan -- termasuk dalam pemilihan calon di negeri tertentu -- tetapi peluang mesti diberikan agar kepemimpinan negara dapat "disegarkan" dengan idea-idea dan dasar-dasar baru, yang akhirnya membawa keuntungan dan manfaat buat rakyat.
Agak kerap Dr Agus menegur laporan pemberitaan Harakah. Selain mahu melihat Harakah lebih berwibawa dan dipercayai pembaca, beliau prihatin dengan kesilapan-kesilapan kecil seperti ejaan dan tanda baca.
"Saya mahu Harakah selami masalah dan penderitaan rakyat, dekati golongan terpinggir yang tertekan dengan kenaikan kos hidup. Kita mahu formula penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap begitu banyak problem besar negara, bukannya ditangani melalui bantuan one-off," katanya sambil merujuk bermacam-macam insentif yang dihamburkan Najib. "Risda pun nak bagi bantuan."
Sebelum saya pulang, saya tanyakan sekali lagi 'soalan cepumas': "Dr yakin Pakatan boleh menang dan menguasai Putrajaya kali ini?" Segera beliau menjawab: "Ya."
III. Mat Taib: "Umno bukan tiada jasa tapi sudah jadi OKU"
Penyertaan bekas Menteri Selangor, Muhammad Muhd Taib diharap dapat melonjakkan pengaruh PAS, terutama di kalangan orang Melayu di negeri termaju itu. Saya lebih tertarik dengan kenyataan bekas Naib Presiden Umno ini yang kelihatan selesa menyandarkan hujahnya kepada tuntutan agama.
Muhammad ternyata bersikap terbuka, tenang dan mengambil pendekatan sederhana. Beliau sengaja memilih masa selepas hari penamaan calon bagi mengelak tohmahan mengejar jawatan, atau lebih tepat menjadi calon PRU13.
Apabila desas-desus tersebar seorang bekas menteri besar Umno akan menyertai PAS, Dr Haron Din menghubungi saya mengesahkan tokoh itu ialah Muhammad. Mungkin hubungan rapatnya dengan Dr Haron Din turut memudahkan beliau membuat keputusan bijak.
Meneliti responsnya terhadap soalan media, saya kira Muhammad tidak mahu sengaja mencipta pertembungan dengan Umno.
“Saya tidak boleh kata Umno tak ada jasa, tapi sampai masanya mereka sudah tidak boleh lagi dah buat kerja dan sudah hilang upaya,” kata Muhammad. “Mereka dah jadi kurang upaya."
Sebuah akhbar memetik kenyataannya: Saya tidak mahu serang Umno kerana saya lama dalam Umno. Itu tidak adil. Umno sudah buat baik. Saya fikir Pas perlu diberi peluang. Bagi dia peluang."
Ya, satu lagi kunci kata yang saya minat, "bagi PAS peluang."
IV. Kit Siang: "Umno tak berani pertahan Islam
Calon DAP di Gelang Patah, Lim Kit Siang menyelar kempen perkauman BN, termasuk melalui iklan politk dalam akhbar The Star, dengan menyebar fitnah mengenai bungan parti itu dengan PAS.
Saingannya Abdul Ghani Othman cuba menakutkan masyarakat Cina, dengan menekankan dalam ceramahnya: "Jika Kit Siang menang, Hadi mungkin jadi PM.”
Kit Siang menyanggah kemas: "Jadi saya ingin tanya kepada MCA dan Ghani, apa salahnya jika pengundi Cina undi PAS, pengundi Melayu undi DAP, semua pengundi India, Cina, Melayu, Kadazan, Iban mengundi PAS, KeADILan dan DAP? Apa salahnya jika kita rakyat Malaysia bersatu padu, bersatu hati dan saling faham-memahami."
Mengulas kempen MCA memburukkan DAP, Kit Siang berkata: "Saya kesal dengan tindakan MCA yang menggunakan akhbar The Star yang dikuasainya untuk menyiarkan iklan-iklan politik yang menghina orang Melayu dan mempermainkan agama Islam. MCA sengaja berbuat demikian untuk menunjukkan kepada kaum Cina bahawa ia tidak akan tunduk kepada orang Melayu dan Islam."
Dalam The Star baru-baru ini, iklan bertajuk “Why is DAP silent?” (Mengapa DAP berdiam diri?) mengutuk kerajaan negeri PAS-Pakatan Rakyat Kedah yang didakwa merobohkan tempat menyembelih haiwan, mengharamkan panggung wayang, mengharamkan persembahan seni oleh wanita dan mengharamkan sambutan Hari Valentine. Iklan akhbar MCA itu juga mendakwa kononnya PAS mahu menutup Bursa Saham dan Genting serta fatwa PAS dikatakan menjejaskan orang bukan Islam.
"Umno pula berdiam diri dan tidak berani mempertahankan Islam dan Melayu kerana mahu membiarkan MCA memperolehi undi kaum Cina melalui cara yang kotor dan keji ini," tegas Kit Siang.
Menyentuh momokan MCA terhadap pemerintahan PAS di Kelantan, Kit Siang mempunyai jawapan mantap: "MCA dan BN lupa bahawa rakyat Kelantan sejak 1990 sentiasa memilih PAS adalah kerana kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat adalah bersih, bebas rasuah dan adil kepada semua kaum.
"Kebebasan beragama di Kelantan adalah lebih baik daripada beberapa negeri yang diperintah oleh Umno-BN. Rakyat Kelantan sudah lama sedar bahawa pimpinan PAS-Pakatan Rakyat tegas menolak rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan."
Lega saya. Titik.
1 ulasan:
Gugusang hari-Hari indah bersamamu
Pakatang...
Bangkitkan kembali
Rinduku mengajakmu
Ke sana
Inginku berlari mengejar seribu bayangmu
Pakatang...
Tak peduli kan ku terjang
Biar pun harus kutembus Padang jawa
Tiba-tiba langkahku terhenti
Sejuta tangang telah menahang ku mengundi
Inginku undi PAS mereka berkata
Tak perlu kau undi
Mengejar impian tak pasti
Hari ini juga mimpi
Maka biarkan ia terlentang
Di hatimu UG..
Di hatimu UG..
Catat Ulasan