KUALA LUMPUR : Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu, Richard Wong ho Leng menyifatkan Bandar Sibu umpama berada didasar kuali akibat kegagalan BN menyelesaikan permasalahan banjir di kawasan itu sejak lebih 50 tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional dilihat sengaja membiarkan permasalahan itu berlarutan lebih setengah abad apabila pelawaan DAP untuk bersama-sama mendalamkan dasar sungai ditolak oleh mereka walaupun ia merupakan khidmat percuma.
"Sibu seperti berada di dasar kuali. Jutaan ringgit disalur untuk tangani banjir, tetapi masih gagal. Satu-satunya cara adalah mendalamkan dasar sungai, tetapi BN berlepas tangan. Walhal DAP pernah menawarkan kerja pedalaman secara percuma, tetapi BN lebih rela tengok rakyat Sibu dilanda banjir," kata Wong Ho Leng.
Wong yang juga Ketua Pakatan Rakyat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak menjelaskan, kesan banjir di kawasan Sibu turut merebak ke Dun Bukit Assek yang di wakilinya terutamanya di Jalan Hua Kiew.
“Sibu kerap dilanda banjir, terutamanya di Jalan Hua Kiew di DUN Bukit Assek dan ini menyebabkan ramai warga Sibu berhijrah ke bandar-bandar lain kerana kerajaan negeri gagal mengatasi masalah itu,” katanya yang juga Pengerusi DAP negeri Sarawak.
Beliau turut memberi contoh bagaimana orang luar yang baru tiba di bandar itu melalui lapangan terbang pasti akan melalui jalanraya yang berbukit dan berlopak termasuklah menyaksikan ada kereta yang tergelincir apabila hujan turun.
"Tengok sahaja prasarana di Sibu. Keluar sahaja dari lapangan terbang, yang menanti kita adalah jalanraya yang berbukit dan berlopak. Bila hujan turun, ada sahaja kereta yang tergelincir," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan