Rabu, 12 Mei 2010

PRK Sibu : Isu banjir, kenyataan calon BN bercanggah dengan Muhyiddin ?

Oleh Era Pakatan

KUALA LUMPUR : Bangkitkanlah apa jua isu dalam Parlimen Sibu, namun isu utama di sini ialah isu banjir yang berlarutan sejak lebih setengah abad.

Anehnya, sejak kekosongan kerusi Parlimen Sibu, pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin Barisan Nasional yang bercanggah antara satu sama lain termasuklah dari pemimpin utama mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin misalnya, pada 10 Mei lalu berkata, kerajaan telah membelanjakan RM300 juta untuk menyelesaikan permasalahan banjir di kawasan itu sehingga Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK-11).

Namun, kenyataan itu ternyata bercanggah dengan dua pemimpin parti itu termasuklah kenyataan dari Robert Lau Hui Yew, calon SUPP yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Bernama melaporkan, isu banjir di kawasan itu akan selesai dalam Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10).

“Saya menjangkakan projek ini dapat diselesaikan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dengan masalah banjir yang kerap melanda terutama antara November sehingga April setiap tahun,” kata Robert.

Untuk rekod, kenyataan Robert itu dikeluarkan pada tarikh yang sama dengan Muhyiddin iaitu pada 10 Mei lalu.

Satu lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin BN melalui Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Salang Gandum.

Kenyataan Salang yang juga Ahli Parlimen dari Sarawak itu dikeluarkan lebih awal, iaitu pada 30 April lalu.

Kenyataan Salang sepertimana yang dilaporkan oleh Bernama menyebut, kerajaan telah memperuntukkan RM230 juta untuk mengatasi permasalah banjir di kawasan itu termasuklah mengatasi kelodak di Sungai Rajang.

Persoalannya, mana satu yang betul, RM230 juta atau MR300 juta?

Bila pula masalah itu boleh disiapkan, RMK-10 atau RMK-11?

Apapun, Muhyiddin sendiri mengakui masalah itu telah berlarutan sejak lebih 50 tahun lalu dan sehingga pilihan raya negeri pada tahun 2006, hanya BN yang memerintah di negeri Sarawak, sekaligus Barisan Nasional gagal menyelesaikan masalah itu walaupun DAP sebelum ini ada menawarkan khidmat percuma untuk menyelesaikan masalah itu.

Tiada ulasan: