Selasa, 11 Mei 2010

Percanggahan fakta pertama kali dalam sejarah


Krpal Oleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini menyifatkan percanggahan di antara laporan polis dan kertas pertuduhan oleh saksi pertama dan juga pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai pertama kali berlaku dalam sejarah kehakiman.

Zabidin berkata, "terdapat percanggah dari segi fakta di antara kedua-dua laporan itu," katanya dalam kes tuduhan liwat oleh Ketua Pembangkang Datu Seri Anwar Ibrahim ke atas bekas pembantunya Saiful.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata terdapat percanggahan dalam kenyataan laporan polis oleh Saiful iaitu ‘diliwat tanpa kerelaan’ sedangkan dalam kertas pertuduhan mensabitkan Anwar dengan tuduhan ‘melakukan hubungan seks di luar tabii secara rela.’

Justeru, Karpal mencadangkan siasatan perlu dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 377C yang mengaitkan seseorang itu diliwat tanpa rela.

Karpal turut mendakwa Saiful cuba menipu dalam keterangannya sehingga boleh mencabar kewibawaannya sebagai saksi.

Saiful sebelum itu dalam keterangannya semasa prosiding hari ini memberitahu mahkamah bahawa pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira merupakan anggota polis yang mengambil keterangannya semasa laporan polis pertama dibuat di Ibu Pejabat Daerah Brickfields pada 29 Jun 2008.

Saiful ketika disoal balas oleh Karpal bagaimanapun tidak dapat mengingati jumlah laporan polis yang dibuatnya sejak tarikh berkenaan.

Di liwat tanpa rela

"Dalam laporan polis saya ada menyebut diliwat tanpa rela," katanya.

"Ada buat kenyataan (diliwat tanpa rela) diluar mahkamah?," tanya Karpal.

"Saya tidak pasti," balas Saiful.

Hakim kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga pukul 9.00 esok pagi bagi memutuskan sama ada untuk membenarkan permohonan pihak pembelaan mendapatkan keterangan polis Saiful.

Terdahulu, Anwar dituduh meliwat Saiful pada 26 Jun 2008 di 11-5-1 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara pada pukul antara 3.01 petang hingga 4.30 petang.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Anwar diwakili pasukan peguam bela yang diketuai oleh Karpal Singh dan dibantu oleh Param Cumaraswamy, CV Prabhakaran, Sankara Nair, Ram Karpal Singh Deo, Marisa Regina Fernando dan Mohd Razlan Jalaluddin.

Sementara Saiful diwakili oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan lima Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin dan Shamsul Sulaiman.

Tiada ulasan: