KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), P Citrakala Vasu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan.
Tuduhan-tuduhan itu bersabit kesalahan memperdaya seorang pengarah yang diberi kuasa untuk menandatangani cek MIED berjumlah RM4 juta kononnya untuk membayar balik pinjaman tiga tahun lalu.
Hakim Azizah Mahmud membebaskan Citrakala, 39, dengan ikat jamin RM30,000 oleh seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 14 Jun ini.
Tuduhan itu dibuat setahun selepas sayap pendidikan MIC itu membuat lapuran polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kehilangan wang dana berkenaan.
Chitrakala yang memakai pakaian biru dan merah fesyen Punjabi kelihatan tenang sepanjang prosiding dan duduk di sebelah peguamnya Sashi Menon.
Semalam, Pesuruhjaya Siasatan SPRM, Mustafar Ali, mengesahkan Chitrakala dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya itu di Putrajaya dan beliau ditahan sebaik tiba jam 2.30 petang. Beliau dilapurkan memberi keterangan selama sejam kepada pegawai SPRM.
Pada Januari lalu akhbar The Star melaporkan seorang pegawai atasan MIED sedang disiasat oleh SPRM berhubung kes jenayah pecah amanah membabitkan RM4 juta.
Eksekutif itu disiasat ekoran laporan itu dan Suruhanjaya itu kemudiannya melawat pejabat MIED dan mengambil dokumen berhubung dakwaan kesalahan tersebut.
Siasatan ke atas MIED masih berjalan dan Chitrakala sendiri telah mendedahkan amalan salah laku berhubung dana tersebut.
Sementara itu, beberapa laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu termasuk oleh bekas Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk S. Sothinathan berhubung kehilangan dana MIED itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan