Selasa, 11 Mei 2010

PAS Selar Perhimpunan "Melayu Bangkit" Gertak


Salahudin%20Ayob Oleh Qayum Rahman


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyelar perhimpunan "Melayu Bangkit" anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang dijangka dihadiri oleh 10,000 orang di Kuala Terengganu pada 13 Mei ini.

"Perhimpunan ini yang sengaja dianjurkan pada 13 Mei bersempena ulang tahun memperingati peristiwa berdarah 13 Mei 1969 boleh menggugat ketenteraman awam," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Beliau berkata, Gertak sengaja menggunakan isu perkauman Melayu untuk menjayakan perhimpunan itu dan boleh mencetuskan pergaduhan atau sekurang-kurangnya ketegangan kaum,"

Tambah beliau, Gertak memilih tarikh 13 Mei semata-mata untuk membangkitkan perasaan orang Melayu bagi mengingati peristiwa hitam itu tetapi tidak memikirkan perasaan kaum lain yang telah bersatu membangun negara dalam pelbagai aspek.

"Program ini perlu dibantalkan supaya tidak timbul ketegangan di antara kaum kerana kerajaan sendiri kononnya mengamalkan negara berbilang kaum berdasarkan konsep 1Malaysia.

"PAS menyelar tindakan Gertak menggunakan isu perkauman untuk melakukan perhimpunan perkauman yang memberi kesan buruk kelak kepada banyak pihak," katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, jika kerajaan gagal memansuhkan program Gertak bersama Institut Integriti Terengganu ini, kerajaan akan terus mewujudkan kaum Melayu yang tidak bertamadun.

Dr Mahathir amal perkauman ‘tebal’

Sementara itu, Setiausaha Agong PAS Pusat Datuk Mustafa Ali yang turut hadir pada sidang media itu berkata,

"(Bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengamalkan perkauman ‘tebal’ sentiasa menghasut orang Melayu untuk menghadapi program seperti ini bagi menimbulkan kebencian terhadap kaum lain."

Katanya, Dr Mahathir dijangka akan menyampaikan ucaptama dalam program tersebut yang dihebahkan oleh akhbar Utusan Malaysia semalam.

Mustafa berkata, rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu perlu sedar akan hasutan tidak bermoral dari pertubuhan Gertak kerana perkara itu mampu menghuru-harakan keadaan.

"Jangan terpedaya dengan hasutan busuk dari Gertak mahupun Dr Mahathir kerana mereka berniat busuk untuk memecah belah kaum di negara ini," jelasnya.

"PAS memandang serius mengenai hasutan perkauman kerana ia akan memberi impak buruk kepada pelbagai kaum di negara yang sedang aman ini," jelasnya.

Tambah beliau, punca program perkauman ini wujud adalah melalui Umno kerana Umno menggunakan isu perkauman Melayu sebagai politik kepentingan mereka.

Mustafa berkata, "jika PAS atau Pakatan Rakyat menganjurkan program sebegini, ISA akan digunakan dan mereka akan dihumban ke dalam tahanan ISA Kamunting, Perak.

"Mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan ISA kepada mereka yang terlibat seperti Gertak dan juga Tun Mahathir kerana menimbulkan isu soal perkauman hingga mampu mencetuskan persengketaan?," soal beliau.

Gertak bersama Institut Integriti Terengganu akan menganjurkan program ‘Melayu Bangkit’ di stadium tertutup kompleks sukan negeri di Kuala Terengganu pada 13 Mei ini bertujuan kononnya untuk mengembalikan kekuatan Melayu.

Tiada ulasan: