Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam berkata, beliau tidak mahu membuat laporan mengenai rasuah dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak percaya dengan kewibawaan Suruhanjaya itu.
"Sudah banyak laporan saya buat terhadap SPRM tetapi sebaliknya saya sebagai pengadu yang disoalsiasat," katanya kepada Free Malaysia Today hari ini.
"Sebab itu saya tidak percaya kepada SPRM kerana tidak menyiasat orang yang saya buat laporan tetapi sebaliknya mereka menyiasat saya. Contohnya dalam kes tanah di Kampung Perpat, Kapar, saya membuat aduan tetapi saya yang disiasat," katanya.
Ahli majlis pimpinan tinggi PKR itu berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau tidak mahu membuat laporan SPRM berhubung dakwaannya pegawai syarikat tersebut mengamalkan rasuah.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Manikavasagam membuat laporan SPRM mengenai dakwaannya dalam Kumpulan Semesta tersebut.
Manikavasagam sebelum ini dilaporkan mendakwa bahawa pegawai atasan KSSB mengamalkan terlalu banyak rasuah dan perkara itu perlu dibersihkan segera oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau juga dilaporkan memberi masa 72 jam bermula semalam kepada Khalid untuk mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang dimaksudkannya itu sebelum beliau mendedahkan nama pegawai yang terlibat.
KSSB ditubuhkan oleh kerajaan di bawah Pakatan Rakyat bagi mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu di Selangor.
Semalam, sekumpulan pegawai SPRM dari ibu pejabat Putrajaya datang menemui ahli parlimen PKR Kapar di pejabatnya untuk mendapatkan dokumen mengenai syarikat tersebut.
Bagaimanapun, Manikavasagam tidak memberikan dokumen yang diminta oleh pegawai terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan