Selasa, 11 Mei 2010

Guan Eng kongsi kejayaan pentadbiran Pulau Pinang

FREE MALAYSIA TODAY


lim guan eng_250_220 SIBU : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berjanji Pakatan Rakyat akan melaksanakankan program basmi kemiskinan seperti di negerinya jika DAP memenangi pilihan raya pada 16 Mei nanti.

Guan Eng dalam lawatannya ke perkampungan Melanau dan Iban dengan menaiki bot akan berkongsi kejayaannya dalam polisi mentadbir Pulau Pinang.

"Jika anda menyokong ‘roket’, kita akan segerakan proses transformasi Sarawak," katanya dalam kempen menyokong calon ahli Parlimen Sibu dari DAP, Wong Ho Leng.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek bertanding menentang calon BN Robert Lau Hui Yew, dan calon Bebas Narawi Haron untuk memenangi hati 54,695 pengundi bagi merebut kerusi Parlimen Sibu.

Ini kali pertama DAP bertanding sejak 11 pilihan raya kecil diadakan selepas tahun 2008.
Dalam lawatannya ke rumah panjang masyarakat Iban, Lim berkata kini sudah tiba masanya penduduk mengubah pendirian mereka kepada DAP.

"Kamu diperintah oleh parti yang sama sejak sekian lama. Kini sudah tiba masanya kamu berubah," katanya.

Beliau menyifatkan kemenangan DAP dalam pilihan raya kecil Ahad nanti merupakan langkah awal bagi PR mengambil alih pemerintahan Sarawak dalam pilihan raya negeri pada Julai depan.

Lim turut menegaskan nasib penduduk kampung di negeri itu yang dipinggirkan oleh kerajaan negri walaupun kekayaan sumber asli mereka diambil.

"Negeri ini kaya dengan balak, minyak, tapi malangnya ‘buaya’ pun banyak," katanya dihadapan kira-kira 50 penduduk Iban.

"Anda lihat sendiri siapa yang menangkap dan melindungi buaya-buaya itu," katanya ketika merujuk pegawai kerajaan yang korup.

Beliau kemudiannya berjanji kepada penduduk kampung bahawa model program basmi kemiskinan Pulau Pinang akan dilaksanakan di Sarawak jika PR berjaya mengambil alih kerajaan negeri.

"Di Pulau Pinang, perkara pertama yang saya lakukan sejurus dilantik sebagai Ketua Menteri adalah membasmi kemiskinan," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri melalui program itu menghulurkan bantuan kewangan kepada golongan miskin.

Sementara warga emas pula diberi bantuan sebanyak RM100 setiap tahun.

Lim mendedahkan taktik kotor BN dengan membelanjakan sejumlah wang kira-kira RM170 juta untuk memancing hati rakyat semasa pilihanraya Hulu Selangor.

Pilihan raya Parlimen Sibu diadakan ekoran kematian penyandang kerusi itu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Lau semasa pilihan raya umum pada tahun 2008 memenangi undi majoriti sebanyak 3,459 menewaskan Ho Leng dan Lim Chin Chuang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sibu mempunyai 54,695 pengundi, 2,537 daripadanya adalah pengundi pos (1,910 askar dan 627 polis).

Mengikut pendaftar pemilih sehingga 9 April lalu, masyarakat Cina merupakan majoriti pengundi sebanyak 67%, diikuti Melayu/Melanau (10.5%) dan Bumiputera Sarawak (22%).

- The Malaysian Insider

Tiada ulasan: