Oleh Sharizan Salian dan Rosnadiah Rosli
CYBERJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyepadukan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan Perkhidmatan Panggilan Kecemasan 999 (MERS 999) ke seluruh negara bermula tahun depan.
Penyepaduan kedua-dua sistem membolehkan pihak polis di pusat kawalan memantau secara langsung sebarang insiden yang berlaku di tempat kejadian yang dipasang CCTV seperti dilaporkan melalui talian 999.
Cyberjaya muncul bandar pertama di negara ini yang melengkapi sistem CCTV dihubung terus dengan MERS 999 bagi membolehkan tempoh masa bertindak pihak polis terhadap laporan kecemasan dipercepatkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata matlamat utama penyepaduan kedua-dua sistem itu adalah untuk mempercepatkan tempoh tindak balas polis terhadap aduan yang diterima menerusi panggilan kecemasan 999.
“Jika tempoh bertindak polis dapat dipercepatkan, ia akan turut menyumbang kepada kadar penurunan jenayah disebabkan meningkatnya tahap kecekapan anggota kami,” katanya pada sidang media selepas melancarkan sistem CCTV-MERS 999 di sini, semalam.
Pelancarannya turut disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan. Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Datuk Redza Rafiq.
Musa berkata, buat permulaan beliau akan mengarahkan pihaknya memasang sistem bersepadu CCTV-MERS 999 itu di kawasan tumpuan seperti terminal monorel dan aliran transit ringan (LRT) di sekitar Lembah Klang.
“Ini adalah sistem yang sangat bagus dan kita akan akan meluaskannya ke semua negeri secara berperingkat, dijangka bermula pertengahan tahun depan,” katanya.
Beliau menjelaskan, PDRM sedia melaksanakan sistem berkenaan ke semua negeri sebaik fasa keempat yang juga fasa terakhir projek MERS 999 yang dikendalikan TM berakhir pada Jun 2010.
TM sebelum ini dilantik kerajaan untuk membangun, memasang dan mengurus sistem tindak balas kecemasan MERS 999 yang menggabungkan empat penyedia perkhidmatan kecemasan di bawah satu platform untuk mewujudkan keseragaman dalam proses pengendalian panggilan kecemasan.
Platform itu diwujudkan bersama satu pangkalan data untuk perkhidmatan kecemasan yang berupaya menapis panggilan palsu secara automatik yang dapat memperbaiki kecekapan serta tempoh tindak balas bagi perkhidmatan kecemasan di negara ini.
Terdahulu, pada ucapannya, Musa berkata, PDRM berhasrat melaksanakan integrasi perpolisian (policing integration) melalui teknologi dengan merancang dan mewujudkan kemudahan berdasarkan konsep 'Bandar Selamat'.
Selain itu, katanya sistem C4I yang sedia ada dikembangkan ke semua kontinjen bagi menyeragamkan pengurusan maklumat, mengesan dan mengenal pasti kedudukan sumber laporan, lokasi kejadian dan menyepadukannya dengan pangkalan data PDRM atau agensi lain.
“Kerjasama yang ditunjukkan oleh Cyberview Sdn Bhd patut dijadikan contoh kepada pemaju perbandaran lain untuk menjalin kerjasama dengan PDRM dan agensi penguatkuasa lain dalam menjadikan negara ini lebih selamat untuk didiami,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan