Selasa, 9 Jun 2009

Operasi bersepadu tangani cetak rompak

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, polis dan kastam menjalankan operasi membanteras aktiviti cetak rompak secara besar-besaran.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan aktiviti itu khususnya yang melibatkan hasil-hasil karya tempatan termasuk filem, drama dan lagu.

''Setiap keping cakera padat cetak rompak yang dimiliki itu boleh didenda RM2,000 dan memang ada peniaga yang didenda sehingga RM1 juta.

''Jadi saya menasihatkan mereka yang terlibat dengan cetak rompak supaya menghentikan aktiviti mereka dengan segera,'' katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada wakil-wakil Persatuan Karyawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa yang sama, kempen kesedaran mengenai cetak rompak akan dijalankan untuk menyedarkan orang ramai mengenai jenayah tersebut.

''Jadi kementerian dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing, kita akan menjalankan penguatkuasaan manakala pengguna perlu berhenti membeli hasil cetak rompak,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk mewujudkan undang-undang bagi menangani masalah cetak rompak ala moden melibatkan aktiviti memuat turun lagu dan filem daripada Internet secara haram.

''Kajian undang-undang sedang dilakukan untuk menghalang cetak rompak melalui alat moden termasuk memuat turun bahan cetak rompak melalui Internet,'' katanya.

Tiada ulasan: