Khamis, 18 Jun 2009

Kelantan disenarai negeri pengeluar minyak di Malaysia

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Sekiranya benar slogan, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan dalam gagasan 1 Malaysia mengapa rakyat Kelantan dinafikan hak mendapat royalti minyak.

Sedangkan anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun kira-kira RM2.5 bilion.

Sehubungan itu kerajaan Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat sebagai royalti minyak yang tertunggak sejak tahun 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Dato' Husam Musa berkata, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak wajar menimbangkan tuntutan tersebut selaras dengan konsep '1 Malaysia' yang diperkenalkannya.

"Kerajaan negeri bersetuju supaya Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara tersebut," katanya selepas mesyuarat Exco semalam.

Menurutnya berdasar kepada laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, pengeluaran petroleum di perairan Kelantan sebanyak RM2.5 bilion setahun.

Kata beliau Kelantan antara negeri yang disenaraikan sebagai pengeluar petroleum sejak 2004 dan sepatutnya turut mendapat royalti seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Katanya, menurut Jabatan Perangkaan empat negeri terbabit disenaraikan sebagai pengeluar petroleum melalui buletin jabatan tersebut bermula 2004 sehingga sekarang.

"Tahun 2009 merupakan tahun keenam kerajaan pusat tidak membayar royalti kepada kerajaan dan rakyat Kelantan sedangkan hasil yang diperolehi setiap tahun bernilai antara RM2.5 hingga RM2.7 bilion.

"Adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebih-lebih lagi kerajaan kini mengutamakan rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengapa mengambil tempoh lama untuk membuat tuntutan tersebut beliau berkata, kerajaan negeri baru menerima maklumat Mac lalu dalam mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri. - mj _

Tiada ulasan: