Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
KUALA LUMPUR: “Serahkan kembali wang RM83,000 sebelum 30 Jun ini, jika tidak saya akan ambil tindakan undang-undang,” demikian kata dua Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 55, berhubung dakwaan ditipu seorang komposer terkenal.
Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, sebelum ini cuba mendapatkan khidmat seorang komposer terkenal untuk merakamkan album sekitar dua tahun lalu.
Menerusi perjanjian yang ditandatanganinya bersama komposer berkenaan, Kak Pah mahu melodi dan lagu yang dihasilkan menerusi album terbaru itu dipersembahkan secara langsung.
Format lagu yang dimainkan secara langsung itu ternyata membabitkan kos yang tinggi berbanding melodi lagu yang diprogramkan terlebih dahulu, menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM83,000.
Begitupun, komposer berkenaan melanggar syarat dan hanya menyiapkan beberapa lagu dengan susunan lagu yang diprogramkan selain tidak menepati kualiti ditetapkan.
“Sebelum merakamkan lagu menerusi album berkenaan saya membuat perjanjian dengan dua komposer iaitu Ramli M S dan seorang lagi komposer.
Bagaimanapun, Ramli berjaya menyiapkan tugasnya seperti dijanjikan berbeza dengan komposer yang seorang lagi. Mungkin disebabkan mahu mengaut keuntungan lebih, komposer berkenaan gagal menyiapkan lagu seperti dijanjikan.
“Saya ada mendengar komposer berkenaan pernah buat hal sebelum ini dan menipu beberapa artis serta syarikat rakaman. Begitupun saya tidak menyangka dia berani melakukan perkara sama kepada saya. Saya memang tidak percaya dia sanggup menipu.
“Saya memang menyimpan impian untuk mengangkat lagu-lagu Melayu ke tahap lebih tinggi. Malah, menjadikan lagu Melayu sebagai rujukan di beberapa universiti di seluruh dunia. Disebabkan itu saya sanggup membuat pelaburan yang tinggi,” katanya.
Menurut Kak Pah yang popular menerusi lagu Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kuda Ku Lari, komposer berkenaan sudah mempunyai reputasi yang cukup gah dalam dunia seni.
Katanya, dia sendiri tidak mahu membuka aib atau memalukan sesiapa dengan mendedahkan kejadian berkenaan kerana tidak mahu disebabkan perkara itu, kelak ramai artis baru dan mereka yang terbabit dalam bidang seni tertipu.
Kak Pah berkata, jika tidak mempunyai wang untuk membayar sekalipun, dia percaya pasti ada cara untuk menyelesaikannya secara baik.
“Saya percaya dia mampu membayarnya kerana memiliki rumah besar dan kereta mewah. Begitupun jika tidak dapat menyelesaikannya, saya sudah bersedia dengan peguam dan dokumen yang diperlukan untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro cuba mendapatkan reaksi mengenai isu itu, namun komposer berkenaan gagal dihubungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan