Khamis, 18 Jun 2009

Ibu bapa bayi mahu saman HSB

BERITA HARIAN ONLINE


ALOR SETAR: Ibu bapa bayi perempuan yang patah tulang kedua belah paha ketika dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada 2 Jun lalu mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan kerana cuai.

Pasangan Noor Amiza Baddaruldin, 28, dan Noor Hairy Baharom, 28, yang juga ibu bapa kepada Putri Nur Danisha yang baru berusia 16 hari mahu mengambil tindakan undang-undang itu kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan pihak HSB, kelmarin.

Noor Amiza berkata, mereka tidak dapat menerima alasan dalam pertemuan dengan pengurusan HSB serta pakar perbidanan dan sakit puan, pakar otopedik dan pakar x-ray hospital terbabit kelmarin.

Katanya, alasan yang mereka berikan iaitu Putri Nur Danisha mengalami masalah tulang rapuh tidak boleh diterima kerana prosedur menyambut kelahiran yang dilakukan oleh jururawat HSB tidak dipatuhi.

"Saya dan suami boleh terima jika anak kami memang ditakdirkan mengalami masalah tulang rapuh, tetapi kami pertikaikan cara jururawat itu memegang anak kami.

"Sebagai jururawat mereka sepatutnya tahu tulang bayi memang tidak kuat dan perlu dipegang berhati-hati," katanya ketika dihubungi semalam.

Noor Amiza berkata, dia juga terkilan apabila pihak hospital menafikan jururawat terbabit cuai dalam pertemuan kelmarin sedangkan dia sendiri menyaksikan jururawat itu memegang anak sulungnya itu dengan cara tidak betul.

"Dia tidak akan memegang anak saya begitu jika dia tahu prosedurnya. Apa salahnya pegang dengan betul," katanya.

Akhbar ini pada Isnin lalu melaporkan Noor Amiza mendakwa jururawat muda yang bertugas di dewan bersalin pada hari itu menjinjing kedua-dua kaki dan tangan Putri Nur Danisha sambil menghayun-hayungkannya dan menunjukkan jantina bayi itu.

Bayi itu kini masih dirawat di wad dengan kedua-dua kakinya disimen.

Noor Amiza turut melahirkan rasa kesal apabila salah seorang pakar perubatan ketika dalam pertemuan kelmarin seolah-olah mencabar keluarganya supaya mengambil tindakan undang-undang.

"Dia marah apabila kami mempertikaikan prosedur kelahiran itu. Malah, dia meninggalkan bilik itu ketika perbincangan masih lagi berjalan. Saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku ketika kita berbincang untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelawat HSB, Ramli Mohd Yunus, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan keluarga berkenaan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

Katanya, soal mahu mengambil tindakan undang-undang adalah hak keluarga bayi terbabit, bagaimanapun beliau masih mengharapkan supaya perkara itu dapat diselesaikan di luar mahkamah.

"Saya percaya masih ada ruang lagi untuk berbincang," katanya.

Difahamkan, pihak HSB akan menubuhkan jawatan kuasa siasatan bebas untuk menyiasat perkara itu secara menyeluruh.

Tiada ulasan: