Jumaat, 19 Jun 2009

Anak Raja Petra tukar pengakuan, kes didengar September

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSEIN


SHAH ALAM: Anak kedua editor Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin hari ini menukar pengakuan - kepada tidak bersalah atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah.

Majistret Norkamilah Aziz menetapkan 14 hingga 16 September ini untuk mendengar kes terhadap Raja Azman Raja Petra, 33.

Pada 19 Mei lalu, Raja Azman mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap empat pertuduhan mencuri dan memiliki harta curi.

Dia didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ milik Mohd Syaiful Setapa, 24, seorang operator pengeluaran, membabitkan kerugian RM8,000 di No 65, Jalan Batas 2, 19/6b, Seksyen 19 di sini, pada 9.30 pagi 20 Mac lalu.

Tertuduh yang ditangkap pada 6 Mei lalu juga mengaku memecah masuk ke dalam rumah Mohd Syaiful dan mencuri beg duit mengandungi kad pengenalan, wang tunai RM20, cukai jalan, kad ATM Maybank dan BSN serta lesen memandu Mohd Syaiful di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Raja Azman juga mengaku mencuri telefon bimbit dan seutas jam tangan bernilai RM3,850 milik seorang pelajar, Saipul Adli Mohamed Yunus, 21, di rumah mangsa di No 16, Jalan Sastera, U2/1K Seksyen U2 di sini, pada 10 pagi 24 April lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam pada ketika itu turut mengaku bersalah memiliki sebuah motosikal curi kepunyaan seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, bernilai RM6,000 di depan rumah No 3, Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong pada 10.40 malam 5 Mei lalu.

Majistret Norkamilah Aziz mengenakan ikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu.

Tiada ulasan: