Jumaat, 10 Oktober 2008

Mufti: Alasan KDN haramkan buku 'primitif'
MALAYSIAKINI


Mufti Perlis menyifatkan alasan pengharaman buku-buku oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai lambang "sikap primitif yang tidak layak bagi masyarakat moden" dan "zaman kegelapan" Eropah.

"Alasan-alasan pengharaman yang hanya menyebut 'boleh mengelirukan orang ramai', lalu sesebuah buku diharamkan amat tidak munasabah.

"Itu membawa kepada sikap primitif yang tidak layak bagi masyarakat moden," kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang sedang bergolak dengan jawatannya minggu ini.

"Tindakan ini kemungkinan boleh menjuruskan negara kepada sikap anti-akademik, jumud dan tidak terbuka.

"Itu bukanlah pendekatan dalam membangunkan minda rakyat dan percambahan ilmu."

Beliau menempelak sikap kementerian itu dengan membandingkannya dengan Zaman Pertengahan Eropah yang menyaksikan banyak buku diharamkan dan dibakar atas alasan agama.

"Apakah kita ingin negara menuju ke zaman kegelapan gereja yang menghukum apa sahaja ilmu yang tidak serasi dengan kelompok tertentu tanpa alasan?

"Lebih daripada itu, apakah negara yang ingin maju seperti kita perlu untuk mengharamkan bahan-bahan ilmiah hanya kerana tiada selaras dengan selera KDN?

"Kalau begitu kita sedang mundur ke belakang, bukan sedang membina modal insan," tegasnya.

Buku karangan Abdul Rahman Mohamed diharamkan bersekali dengan buku terbitan Sisters in Islam (SIS), Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ketua penolong setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Abdul Razak Abdul Latif dilaporkan berkata sekiranya dua penerbitan berkenaan dibiarkan, ia "boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat".

Buku mengenai solat itu mengupas kaedah-kaedah solat khusus, misalnya sewaktu mendukung bayi atau bersembahyang di dapur.

Dr Mohd Asri berkata selepas menyemak buku berkenaan, "saya tidak dapati adanya perkara yang bercanggah dengan al-Quran atau al-Sunnah."

"Bahkan penulisnya mengemukakan alasan-alasan ilmu yang dipegangnya. Mungkin ada beberapa perbezaan pendapat di kalangan sarjana dalam perkara-perkara yang disebutkan itu, tapi bukan bercanggah dengan prinsip Islam," katanya lagi.

"Kalau panel (penapisan buku) berkenaan mahu buku mengikut kehendak mereka, merekalah yang tulis. Hak penulis mengemukakan alasan-alasannya.

"Dalam Islam, selama mana ia tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, biarlah dunia ilmiah itu bercambah.

"Bukanlah tujuan saya untuk membela buku tersebut, tetapi kecenderungan mengharamkan bahan-bahan akademik atau ilmiah tanpa alasan yang konkrit boleh merosakkan percambahan ilmu."

"Apakah kita patut mengharamkan internet, segala macam buku hanya kerana ada orang yang rasa keliru? Apakah setiap kekeliruan pembaca, dosanya semesti ditanggung oleh buku?

"Cara begini nampaknya kita masih mundur."

Dalam blognya hari ini, mufti muda yang lantang itu mengulas pengharaman sebuah buku agama Pelik Tapi Benar Dalam Solat, Ogos lalu.

SIS melancarkan kempen 'Jangan Haram Buku' dengan menerbitkan poskad (foto kiri) tidak lama selepas karya ilmiah itu diharamkan.

Dr Mohd Asri menambah, jika seseorang tertuduh di mahkamah memerlukan bukti sebelum dihukum bersalah, "apakah boleh bahan ilmiah yang menjadi keperluan asas manusia dihukum tanpa alasan yang jelas"?

Tiada ulasan: