Highland Towers: Sampai bila akan terbiar?
KOSMO!
AMPANG - Terus terbiar. Itulah keadaan bekas kondominium mewah Highland Towers, Taman Hillview, Bukit Antarabangsa di sini yang kelihatan semakin kusam, malah menjadi 'port' penagih dadah.
Ekoran sikap berdolak-dalik antara PBT dan Kerajaan Selangor menyebabkan tiada apa-apa yang berlaku sejak tragedi ngeri pada tahun 1993 lalu apabila dua blok kondominium itu runtuh.
Tinjauan Kosmo! mendapati, selain tersergam di tengah-tengah kawasan penempatan, seolah-olah tiada pihak yang sanggup turun padang untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Malah kewujudan bangunan tinggal yang kini terbiar itu hanya mencacatkan pemandangan sekitar kawasan selain mengundang pelbagai kegiatan yang tidak bermoral.
Sementara itu, rata-rata orang ramai ketika ditemui berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu ke atas kondominium tinggal terbabit.
Lebih mendukacitakan tinjauan mendapati, sampah dan 'wajah' bangunan itu hanya mengundang perasaan takut dan menjadikan penduduk di situ bertambah resah.
Seorang penduduk, Sharifah Syed Abdul Aziz, 39, berkata, MPAJ perlu bertindak secara proaktif bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
"Apa tidaknya, sudah berpuluh tahun bangunan ini dibiarkan sehingga telah dikelilingi dengan pokok-pokok besar," katanya.
Bagaimanapun jelasnya lagi, sudah sampai waktu pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan bukannya membiarkan kondominium itu tersergam begitu sahaja.
"Bukan apa, walaupun kejadian itu telah lama berlaku, itu tidak bermakna PBT terus 'hilang' tanpa menjalankan apa-apa pembaharuan di kawasan tersebut," ujarnya.
Menurutnya lagi, kawasan bangunan itu sering disalahgunakan.
"Kalau boleh, robohkan sahaja atau pagar kawasan itu," katanya lagi.
Rakannya, Roslan Yahya, 58, berkata dengan keadaannya yang terbiar, membuatkan tiada sesiapa yang berani masuk ke dalam bangunan itu.
"Lagipun, bukan 'calang-calang orang' yang memasuki tempat ini,'' jelasnya.
"Perlu ada tindakan segera kerana ada segelintir pihak sudah lama menyalahgunakan bangunan tersebut kerana mereka mengetahui kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa," dakwanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan