Selasa, 14 Oktober 2008

Batu Pahat 'dibelasah' Pakatan Rakyat

Salmiyah Harun
Parlimen


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen (BN-Batu Pahat) Dr Puad Zarkashi 'dibelasah' dengan persoalan-persoalan yang dibangkitkan dari beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Beliau yang memulakan perbahasan bajet 2009 sebaik sahaja Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengakhiri perbahasannya pagi tadi.

Semalam (13 Okt) Ahli Parlimen Permatang Pauh itu diberi peluang pertama untuk membahaskan bajet itu kemudian bersambung pada hari ini yang mengambil masa hampir satu jam.

Sebaik diberi peluang berbahas, Puad yang memulakan mukadimah perbahasannya mempertikaikan cadangan Anwar yang mahu membentangkan semula bajet selepas penurunan harga minyak global.

Puad turut mempertikaikan masa hampir enam jam yang diambil Anwar untuk membahaskan bajet tetapi tidak mempunyai 'point' untuk mengatasi masalah ekonomi negara.

Ekoran itu, Saifuddin Nasution (KeADILan-Machang) yang bangkit mempersoalkan ketelusan Batu Pahat yang pada dasarnya menyokong bajet 2009 tetapi dalam masa yang sama memulakan pelan peralihan kuasa untuk meminggirkan Perdana Menteri, Dato Seri' Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya keliru, dalam satu segi Batu Pahat mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang membentangkan bajet prihatin, berdaya saing tetapi dalam masa yang sama menyokong peralihan kuasa berlaku lebih awal dari yang dijangka.

"Dalam peralihan kuasa beliau meminta perdana menteri berhenti lebih awal, di manakah pendirian Batu Pahat?"tegas Saifuddin.

Saifuddin juga mempertahankan apa yang dibahaskan dan dicadangkan oleh Anwar bukannya kosong semata-mata sebaliknya mahu memperbetulkan semula pentadbiran kerajaan.

"Apa yang dibentangkan selama enam jam itu untuk mendesak kerajaan menurunkan harga minyak yang sekali gus memberi manfaat kepada rakyat khususnya petani di kampung-kampung,"katanya.

Terdahulu, Dr Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) bangun mencelah serta membangkitkan keresahan rakyat apabila harga jatuh merudum yang memberi kesan besar kepada ekonomi pekebun kecil.

"Harga getah dua minggu lalu RM5 sekilogram hari ini jatuh kepada RM3, ini memberi masalah besar, kerana pendapatan mereka tidak meningkat, apakah tindakan kerajaan?"katanya.

Hatta mencadangkan kerajaan agar sekurang-kurangnya menubuhkan jawatankuasa dalam masa terdekat ini untuk mengatasi masalah itu.

"Sebab itulah ketua pembangkang seriusnya menangani masalah ini kita juga menjangka satu masalah besar akan berlaku tidak lama lagi,"katanya.

Sementara itu Anwar yang turut bangun mencelah kemudian menegaskan penurunan harga getah dan kelapa sawit sekali gus akan memberi kesan kepada unjuran ekonomi.

Keadaan ini, katanya akan memberi tempias kepada ekonomi petani dan pekebun kecil.

Beliau menegaskan belanjawan itu harus dibentangkan semula dengan syarat unjurannya mesti realistik untuk mengatasi masalah ekonomi negara.

"Malangnya, kerajaan tidak menyentuh sama sekali soal pekebun-pekebun kecil dalam belanjawan, sedangkan ia harus untuk mengatasi masalah ekonomi,"katanya.

Beliau turut membidas wakil rakyat BN yang hanya mempertahankan rakyat ketika turun padang tetapi apabila kembali ke parlimen mempertahankan pemimpin untuk mendapatkan kepentingan. - mks. _

Tiada ulasan: