Khamis, 24 Jun 2021

Teksi, e-panggilan di Semenanjung boleh rentas daerah, negeri

Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Perkhidmatan teksi dan kenderaan e-panggilan di Semenjanjung Malaysia diizin beroperasi antara daerah dan negeri kerana diklasifikasi sebagai perkhidmatan perlu.

Kementerian Pengangkutan berkata, ia dibenarkan hanya bagi tujuan membawa penumpang dengan ada kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan sebagaimana diperlukan.

“Perkhidmatan ini juga boleh beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekatan penuh bermula 1 Jun lalu,” kata kenyataannya di sini hari ini.

Pemandu teksi boleh mendapatkan surat kelulusan melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di bawah selian kementerian menerusi pautan laman https://application.mot.gov.my

Kementerian tersebut bagaimanapun menambah, kelulusan untuk pemandu kenderaan jenis e-panggilan pula dikeluarkan oleh pihak pengendali atau operator syarikat masing-masing.

Penumpang yang merentas daerah atau negeri namun perlu memiliki kebenaran pergerakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagi perkhidmatan di Sabah dan Sarawak, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana di kedua-dua negeri itu dibenarkan mencadangkan SOP mengikut keperluan masing-masing.

“Pihak jawatankuasa itu akan mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah Kesihatan dan akan ada perbezaan SOP di dua negeri ini berbanding situasi di Semenanjung,” katanya.

Ini selari Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pindaan 2021 yang berkuat kuasa pada 22 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: