Jumaat, 7 Mei 2021

Arab Saudi edar gambar lebih jelas Maqam Nabi Ibrahim

GAMBAR beresolusi tinggi Makam Nabi Ibrahim di Masjidil Haram yang tidak pernah didedahkan kepada umum diedarkan pihak berkuasa Arab Saudi buat pertama kali, semalam.


GAMBAR beresolusi tinggi Makam Nabi Ibrahim di Masjidil Haram yang tidak pernah didedahkan kepada umum diedarkan pihak berkuasa Arab Saudi buat pertama kali, semalam.

Memetik Saudi Gazette, Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci berkata, gambar itu diambil menggunakan teknik baharu ‘stacked panoramic focus’, sama seperti gambar Hajarul Aswad.

Makam itu turut merangkumi batu yang mengabadikan bekas tapak kaki Nabi Ibrahim ketika berdiri untuk membina Kaabah apabila temboknya semakin tinggi.

Batu yang dilitupi emas dan perak itu diletakkan dalam bingkai bercermin bagi memelihara jejak kaki Nabi Ibrahim.

Ciapan yang dimuat naik di akaun Twitter, Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci antara lain menunjukkan beberapa keping gambar yang menampilkan sisi tempat suci itu, yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Berdasarkan keterangan pada gambar, Makam Nabi Ibrahim adalah sebutir delima dari syurga, yang terletak di depan pintu Kaabah, iaitu antara 10 hingga 11 meter di timur Kaabah, menuju ke Safa dan Marwah.

GAMBAR beresolusi tinggi Makam Nabi Ibrahim di Masjidil Haram yang tidak pernah didedahkan kepada umum diedarkan pihak berkuasa Arab Saudi buat pertama kali, semalam.

Jelas ciapan itu, tempat suci terbabit ialah batu arkeologi segi empat yang berukuran 40 sentimeter (sm) panjang, 20 sm tinggi dan 20 sm lebar, mengabadikan Nabi Ibrahim semasa berdiri ketika pembinaan dinding Kaabah semakin tinggi.

Selain itu, warna batu berkenaan yang kekuningan dan putih kemerahan, dengan bekas tapak kaki berukuran 27 sm panjang dan 14 sm lebar pula terletak di tengah batu berkenaan.

Berdasarkan kepercayaan Islam, Allah menurunkan Batu Hitam dan batu makam itu dari syurga kepada Nabi Ibrahim serta Ismail, selepas mereka diarahkan untuk mengangkat tapak Kaabah.

Batu ditanda kesan dua bekas tapak kaki dan menurut sejarah, ia kekal berada di sisi Kaabah sebagai antara mercu tanda utama Mekah.

Semasa Nabi Muhammad menawan kota Mekah, baginda dan para sahabat memutuskan untuk mengalihkan batu tersebut dari lokasi asal berdekatan Kaabah ke lokasi sekarang, sejauh lebih 10 meter.

Ini bagi memudahkan urusan melakukan tawaf dan memberi ruang kepada orang ramai untuk solat di belakang batu suci itu, seperti terkandung dalam al-Quran.

Mengikut ahli sejarah, pemimpin pertama yang menutup batu suci itu ialah Khalifah Abbasiyah, Al-Mahdi dan Khalifah Al-Mutawakkil pula menutupnya dengan emas serta perak bagi mengangkat martabatnya.

Semasa pemerintahan Raja Faisal, kerja memperluaskan kawasan itu dilakukan dan beberapa struktur dikeluarkan bagi melancarkan urusan ibadat tawaf.

Kawasan sekeliling batu Makam Nabi Ibrahim itu dikemaskan dengan saduran emas dan ikatan bingkai perak serta dan dilindungi tirai besi.

Tiada ulasan: