Ahad, 1 November 2020

128 jururawat kontrak bantu usaha perangi Covid-19 di Sabah

Sebahagian daripada jururawat baru yang akan berkhidmat di Sabah. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: 128 jururawat kontrak melaporkan diri di Jabatan Kesihatan Sabah bagi membantu usaha memerangi wabak Covid-19 di negeri itu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Beliau berkata, ini berikutan usaha yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), selain menambah bahawa jururawat terbabit kini menjalani latihan sebelum memulakan tugas.

“Pada masa sama, 9 pegawai perubatan dari Jabatan Kesihatan Kelantan dan Terengganu juga tiba di Sabah hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dewan pembedahan di Hospital Semporna juga dibuka semula bermula semalam berikutan dana yang diperolehi daripada KKM.

Pakar dari Hospital Tawau telah menjalankan pembedahan caesarean dan pembedahan mengikat peranakan (BTL) di situ.

Dua unit ambulans juga ditempatkan di Hospital Semporna bagi meningkatkan sokongan logistik dalam membantu menangani wabak berkenaan.

Dalam pada itu Masidi berkata, peningkatan besar kes jangkitan daripada kluster Rumah Merah direkodkan susulan saringan yang dijalankan di 2 blok pusat tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, 111 kes dilaporkan hari ini, berbanding 57 semalam.

“Bilangan kes dijangka meningkat dalam beberapa hari ini kerana terdapat 10 blok yang menempatkan 1,706 tahanan di situ,” katanya.

Tiada ulasan: