Jumaat, 20 Mac 2020

Malaysia catat 1,030 kes Covid-19, keempat tertinggi di Asia

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka seribu, apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan 130 kes positif Covid-19 baru hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes menjadi 1,030 kes.
 
Ini menjadikan kes di Malaysia semakin meningkat setelah mencatatkan penurunan selama empat hari berturut-turut sebelum ini.

Angka terbaru itu meletakkan Malaysia di kedudukan keempat paling banyak kes di Asia.

Kes di Malaysia juga telah melepasi Jepun dengan 958 kes setakat ini dan berada di belakang Korea Selatan (8,652),  Iran (18,407) dan China (80,967 kes).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, daripada 130 kes yang dicatatkan setakat 12 tengah hari tadi, 48 daripadanya adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Sebanyak 26 lagi kes kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Ia termasuk seorang kakitangan Kementerian Kesihatan.

Ini merupakan hari keenam negara mencatat peningkatan harian melangkaui angka 100, namun berbeza berbanding hari sebelumnya, majoriti kes hari ini bukan berkaitan dengan kluster Tabligh.

Bagaimanapun tidak dinyatakan bagaimana jangkitan berlaku bagi 82 lagi kes yang tiada kaitan dengan kluster itu. 

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan 12 pesakit pulih dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kepada 87.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyarankan orang ramai untuk kekal aktif meskipun berada di rumah sepanjang perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac 2020.

Ini bagi mengekalkan kesihatan mental dengan meningkatkan mood dan melegakan kebimbangan serta keresahan sepanjang berkurung di rumah, katanya.

Tiada ulasan: