Sabtu, 21 Mac 2020

Mari kita jaga kita

 
Malaysiakini
 
 
ULASAN | Koronavirus adalah virus yang ‘mengkhianati’ manusia. Virus ini jenis virus tikam belakang.

Berhadapan dengan serangan koronavirus adalah lebih sukar berbanding berhadapan musuh di dalam peperangan. Kalau di dalam perang, musuh jelas kelihatan. Kita tahu dari arah mana, musuh menyerbu dan menembak.

Koronavirus tidak begitu. Di antara orang yang bergerak di pasar atau sama-sama bersembahyang di rumah ibadat, di antara yang wajahnya tersenyum sambil menghulurkan salam, bahkan yang mengembalikan wang ketika kita berjual-beli di stesen minyak; yang manakah musuh kita?

Kita perlu sangat berhati-hati. Di antara mereka itulah yang akan menikam dari belakang. Membuatkan kita luka, atau cedera parah. Boleh membuatkan kita yang selalu tidak bersedia ini, mati.

Anggap sahaja sekarang kita seakan-akan dalam waktu darurat. Tapi sekali lagi, bukan darurat sepertimana di dalam peperangan, kerana seperti yang dinyatakan tadi, musuh kita tidak jelas.
Peperangan melawan koronavirus adalah sangat sukar kerana musuh kita adalah jenis tidak kelihatan dan suka tikam belakang.

Di dalam berhadapan dengan musuh yang kabur, jalan yang ada ialah dengan bersatu hati. Biarkan kita berjarak, tapi hati kita bersatu.

Saya tidak tahu, apakah sifat koronavirus sama seperti sifatnya segelintir ahli politik yang dahagakan darah? Maksud dahaga darah di sini ialah demi mencapai sesuatu cita-cita, maka sanggup pula menikam kawan dari belakang. Mengatur komplot dan membuat rampasan kuasa.

Dengan serangan hendap yang terjadi di seluruh dunia, kes kematian yang berakibat daripada koronavirus telah mencecah lebih 8,000 jiwa. Ia dijangka meningkat lagi. Di negara kita juga telah mencatat dua kematian pertama pada hari yang sama.

Ramai orang melihat, ketika kerajaan Pakatan Harapan masih berkuasa di Putrajaya, kes koronavirus masih sangat terkawal. Lebih rendah berbanding banyak negara Asia Tenggara lainnya. Termasuklah Singapura.

Memang wajar ramai yang kembali terkenang bagaimana menteri kesihatan waktu itu, Dr Dzulkefly Ahmad dan pasukannya bertungkus-lumus mengawal virus ini daripada merebak. Sepanjang 37 hari sejak kes pertama dikenal pasti—di bawah kerajaan PH—hanya sejumlah 25 kes dicatat, dengan tanpa sebarang kematian. Zero.

Tatkala Dr Dzulkefly sedang berlempas-pulas itulah, satu gerakan senyap rampasan kuasa dibuat dengan apa yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton”. Sangat menyedihkan kerana mereka yang merancang komplotan itu pun cukup sedar bahawa negara sedang berhadapan dengan ancaman virus. Sebahagiannya memang pun berada di dalam kerajaan PH itu sendiri.

Anak ayam hilang ibu

Ketika runtuhnya kerajaan PH pada 24 Februari, dan hari berikutnya Dr Dzulkefly seperti juga ramai menteri yang lain, pun mengosongkan pejabat. Mereka secara langsung terlepas daripada jawatan menteri.

Di dalam kekosongan inilah, virus seperti sukar dikawal. Kakitangan awam tidak boleh dipersalahkan. Mereka turut kebingunan, dan macam anak ayam hilang ibu.

Bom! Hari-hari berikutnya pun menjadi saat mulanya tikaman bertalu-talu virus yang juga dikenali sebagai Covid-19. Dalam keadaan tidak berkerajaan, sebuah jemaah Islam pula membuat perhimpunan besar melibatkan lebih 15,000 orang di Sri Petaling.

Di ketika sama, para menteri yang baru mendapat kuasa—atau kembali mendapat kuasa—tidak sempat memeriksa. Asyik meraikan kemenangan dengan majlis yang ditaja tauke besar.

Satu titik melarat. Menjadi berpuluh-puluh. Menjadi beratus-ratus. Sehingga tidak mustahil tren berkenaan akan mencecah lebih seribu kes dalam masa terdekat.

Rampasan kuasa juga dilakukan tatkala ekonomi Malaysia dalam keadaan tidak menentu. Harga minyak dunia merudum sehingga di bawah AS$20 seton—paras yang paling rendah sejak tahun 2002.

Apabila harga minyak jatuh teruk, itu bermakna pendapatan kerajaan daripada hasil petroleum juga terjejas. Malaysia masih negara yang bergantung kepada hasil minyak. Sementara harga sawit yang baru hendak pulih, juga kembali menjunam.

Apa yang dirancang sejak tahun lalu, semuanya binasa. Termasuklah acara penting Tahun Melawat Malaysia 2020 yang telah pun diumum dibatalkan. Selain sektor pelancongan, beberapa syarikat besar juga terkena kesannya.

Selain ada laporan syarikat seperti MAS yang berhadapan masalah, syarikat seperti Proton yang baru mahu bertatih keluar daripada tahun-tahun yang merugikan juga terkena tempiasnya. Semua kesan rantaian ini ialah apabila Covid-19 gagal disekat penyebarannya, dan ia merebak kerana ada pihak yang terlalu berghairah untuk berkuasa dengan cara yang luar biasa serta tidak berdemokratik.

Nasi sudah menjadi bubur. Benteng-benteng pertahanan yang pernah didirikan Dr Dzulkefly dan pasukannya telah runtuh bersama runtuhnya kerajaan PH. Kini yang tersisa adalah kekuatan masyarakat itu sendiri untuk bersatu hati menentang musuh yang tidak kelihatan itu: Covid-19.

Kita dapat menyaksikan, di saat kerajaan yang namanya “Perikatan Nasional” (PN)—entah rasmi atau tidak nama berkenaan—melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, masyarakat kita sendiri memulakan kempen “Kita Jaga Kita”. Maknanya kempen berkenaan ialah untuk menimbulkan kesedaran di kalangan kita agar cukup berjaga-jaga serta tahu apa yang perlu dilakukan.

Virus tak kenal agama, bangsa, wilayah

Kita tidak keluar rumah bukan kerana kita takut sekatan polis. Kita membasuh tangan bukan kerana tangan kita nampak kotor. Kita menjarakkan diri dengan orang lain bukan kerana kita membenci orang itu.

Kita lakukan semuanya kerana kita sayang sesama kita. Rakyat nampaknya tidak cukup hanya menunggu arahan kerajaan kerana arahan mereka pun sering mengelirukan dan selalu tidak lengkap.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pula dilihat mengadakan ucapan khas berselang dua tiga hari sekali dengan menambah pesanan yang lupa disebutkan dalam siaran sebelumnya, ke dalam siaran selanjutnya. Begitulah menunjukkan berapa tidak bersedianya kerajaan yang ada—yang baru beberapa minggu lalu, melakukan kerja menembak kaki sendiri.

Di saat inilah, kita sewajarnya sudah sedar dan insaf bahawa kerajaan Melayu-Islam tajaan PN ini tidak membuatkan orang Melayu-Islam kalis dan kebal daripada terkena Covid-19. Virus tidak pernah mengenal agama, bangsa bahkan wilayah.

Memang tidak ada yang lain yang akan bersatu hati untuk menyelamatkan negara ini, kecuali kita sendiri. Kita akan melakukannya dengan penuh semangat patriotik, selepas banyak sekali yang dirosakkan oleh perampas kuasa bersama golongan yang bersekongkol untuk mendapat kuasa.

Nasib mereka sudah terbela. Gaji mereka berpuluh ribu dan anak-anak boleh menunggang kuda. Tapi rakyat, seperti pemandu teksi, Grab, peniaga kecil dan penjaja pasar malam, tidak boleh lagi kais pagi makan pagi.

Seperti perang, keadaan tidak akan pulih sepenuhnya dalam sebulan dua. Kita perlu bersedia menempuh saat-saat sukar sekurang-kurangnya di sepanjang tahun ini demi memulihkan negara dari segala sudut yang telah dihancurkan—keselamatan, ekonomi dan sosial. Namun tidak ada erti tumpas dalam membangunkan semula sebuah bangsa.

Meski di kala Malaysia keluar dari semua kemelut ini nanti, penguasa pula memutar balik kenyataan, kononnya atas usaha mereka. Bukannya kita. Bukannya rakyat yang setia dan cintakan negara.


*HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Tiada ulasan: