Isnin, 20 Mei 2019

Maszlee nafi tolak cadangan subjek agama lain di sekolah

ISMA WEB

Penghayatan melalui kokurikulum lebih mendekatkan kaum


BANGI– “Saya tidak sesekali menyebut dan menyatakan untuk menolak cadangan subjek mengenali agama lain seperti yang dilaporkan,”. Demikian kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik susulan laporan media menyatakan beliau menolak cadangan itu.

Dalam satu majlis bersama rakyat di Simpang Renggam semalam, beliau telah ditanya media mengenai cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk mewujudkan subjek mengenali agama lain.
“Transkrip jawapan saya kepada soalan berkenaan adalah seperti berikut:

“Kita buat sementara ini telah mempunyai beberapa subjek yang mempelajari mengenai agama. Contohnya macam di sekolah-sekolah kita dalam pelajaran-pelajaran tertentu memang ada kita belajar budaya berbeza dan sebagainya.

“Tapi pada saya yang lebih penting ialah penghayatan. Jadi penghayatan melalui aktiviti kokurikulum, aktiviti bersama, itu akan lebih mendekatkan kita. Kita tak mahu dari segi teori saja, tapi kita mahu dari segi praktikal. Supaya kita lebih memahami dalam erti kata kehidupan bersama itu sendiri.”

Justeru, Maszlee menegaskan bahawa beliau tidak sesekali menyebut dan menyatakan untuk menolak cadangan subjek mengenali agama lain seperti yang dilaporkan.

“Penjelasan ini diharapkan dapat mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul melalui laporan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Presiden MBM, Jufitri Joha mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam, di peringkat sekolah dan universiti, bagi meningkatkan pemahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Jufitri yang juga Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Katanya, cadangan itu tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti agama lain.


Tiada ulasan: