Rabu, 24 Januari 2018

Terowong dasar laut: SPRM tahan perunding kejuruteraan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang perunding kejuruteraan bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, semalam. 
 
Laporan Bernama yang memetik sumber menyebut, suspek wanita berusia 50 tahun itu ditahan pada jam 6.10 petang ketika hadir memberi kenyataan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
 
"Difahamkan, wanita itu merupakan perunding kanan sebuah syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek tersebut.
 
"Beliau dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan negeri," kata sumber itu.
 
Beliau berkata SPRM juga sedang menyiasat sama ada individu lain turut terlibat bersubahat dalam pemalsuan dokumen itu.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita itu namun enggan mengulas lanjut.
 
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
 
Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
 
 

Tiada ulasan: