Selasa, 23 Mei 2017

Peniaga bazar dilarang jual sebelum jam 3 petang

ISMA WEB



KUANTAN,  Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menetapkan, penganjur dan peniaga bazar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya dimestikan mematuhi syarat terutama aspek kebersihan dan waktu perniagaan.

Menegaskan perkara itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Fadzilla Salleh berkata, mereka yang mendapat permit berniaga diminta memastikan peraturan ditetapkan untuk kelancaran operasi sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau peniaga yang beroperasi awal sebelum 3 petang seperti berlaku tahun lalu.

“Kita tidak benarkan pertukaran hak milik atau pemilik asal memberi sewa kepada individu lain untuk mencari keuntungan mudah.

“Bermula 1 Ramadan, pegawai penguat kuasa akan melakukan pemantauan untuk memastikan tiada kes pertukaran permit oleh penganjur,” katanya sempena majlis taklimat dan penyerahan permit perniagaan Bazar Ramad 2017 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Fadzilla berkata, semua peniaga perlu mematuhi syarat menggunakan bekas makanan berpenutup lutsinar, mementingkan kebersihan tempat berniaga dan persekitaran serta memakai penutup mulut ketika berniaga.

Katanya, penggunaan dawai kokot tidak dibenarkan pada pembalut makanan, selain perlu mempunyai kad pengendalian makanan sah dan berpakaian sopan serta harga jualan berpatutan.
“Sebanyak 35 lokasi bazar disediakan di seluruh daerah ini yang membabitkan 2,000 peniaga,” katanya

Tiada ulasan: