Tinggal bayi lelaki depan rumah Bayi yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah penduduk
 
 
 
SUNGAI PETANI – Orang ramai dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki ditinggalkan depan rumah seorang penduduk dan turut diselitkan dengan sepucuk surat di sebuah kampung di Merbok, awal pagi semalam.

Difahamkan, bayi terbabit yang lengkap berpakaian diletakkan dalam sebuah kotak dan ditinggalkan bersama dengan kelambu, sepertimana yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam yang memaklumkan perkara itu.

"Bagaimanapun, kita tidak dapat memastikan sama ada surat yang disebarkan menerusi aplikasi itu adalah sahih atau sebaliknya, siasatan akan dilakukan," katanya kepada Sinar Harian.

Khalil berkata, bayi itu dipercayai berusia seminggu berdasarkan kesan tanggal tali pusat yang masih baru.

"Kejadian disedari awal pagi tadi (semalam) ketika umat Islam sibuk mahu mengerjakan solat Subuh apabila bayi ditinggalkan di hadapan sebuah rumah penduduk di kampung terbabit.

"Berdasarkan pemerhatian, bayi lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut," katanya.

Khalil berkata, pihaknya akan menunggu laporan perubatan sebelum menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, berhubung kes penemuan mayat bayi yang ditemui dalam tin biskut di sebuah bangunan asrama semalam, ibu kepada bayi itu kini dilaporkan sihat.

"Kita masih menyiasat perkara itu dan wanita itu bagaimanapun masih dirawat di HSAH untuk tindakan lanjut," katanya.