BUKANLAH sesuatu yang boleh dibanggakan apabila
Malaysia dikatakan mempunyai berpuluh universiti awam dan swasta tetapi
pada keseluruhannya diperlekehkan sebagai kurang bermutu. Sukar untuk
saya menerima bahawa Vietnam menawarkan mutu universiti yang lebih baik
daripada Malaysia.
Saya kurang pasti jumlah universiti di Vietnam tetapi jumlah
penduduknya yang hampir 100 juta pasti memerlukan dua kali ganda jumlah
universiti di Malaysia.
Keperluan ini bertambah-tambah lagi memandangkan negara-negara komunis
lebih menekankan kepada pendidikan. Maka logiknya negara-negara komunis
atau pasca komunis mempunyai banyak universiti. Dari universitilah elit
mereka dalam pemerintahan, tentera, sains dan teknologi, seni serta
sukan didapati. Di kalangan universiti yang pengantarnya bahasa
Inggeris, universiti-universiti di Hong Kong dan Singapura kerap
ditarafkan sebagai berkualiti di sebelah sini dunia.
Sejarah penubuhannya yang berlaku dalam zaman pemerintahan kolonial British mungkin menjadi satu faktor.
Bagaimanapun, baik realiti atau persepsi, universiti-universiti Malaysia tentunya menghadapi satu cabaran.
Sebagai satu fakta, Universiti Malaya asalnya ialah di Singapura. Ia
berpecah dua pada 1959, apabila kampus baharu dibuka di Lembah Pantai,
Kuala Lumpur. Versi di Singapura kini dipanggil Universiti Nasional
Singapura.
Baik suka atau tidak, kalangan alumni UM, KL, berkerut kening apabila
dilantangkan perbezaan kualiti dalam persepsi antara keduanya. Persepsi
keseluruhan bahawa Malaysia mempunyai IPT yang relatif kurang berkualiti
di sebelah sini dunia tidak boleh ditolongi oleh apa yang berlaku.
Ramai individu dikatakan mendapat PhD dan memanggil diri mereka doktor,
tanpa diketahui bagaimana mereka mendapat kelulusan begitu.
Urutan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah adalah norma
pembelajaran universiti. Dari ketiga-tiga tahap urutan itu, pastinya PhD
dianggap paling sukar didapati.
Ambil saja sebuah universiti di England dan AS: katalah Universiti
Bristol dan Universiti Ohio. Kedua-duanya bukan top ten di negara
masing-masing seperti Cambridge, Oxford dan London; atau Harvard, Yale
dan Cornell.
Meskipun bertaraf universiti pertengahan, Bristol dan Ohio mewajibkan
seseorang calon PhD melalui proses course work, tinggal di kampus untuk
sekian waktu, di samping melalui rutin menghadapi profesor pengendali
yang mengesani kemajuan penyiapan tesis.
Untuk itu semua, bukan suatu yang senang bagi sesiapa yang sibuk dengan
tugas, baik dalam politik atau dunia profesional, untuk melaluinya. Ini
mengingatkan saya kepada seorang penjawat politik tinggi, kini sudah
menjadi mantan.
Selepas menerima pelantikan jawatan, beliau dikatakan mempunyai PhD,
justeru dipanggil doktor X. Beliau dikatakan mendapat PhD di sebuah
universiti di AS, yang namanya disempenakan dengan kota di mana
kampusnya terletak.
Sebagai ilustrasi, kita namakannya Universiti San Pedro. Memang ada kota kecil bernama begitu, tetapi ia tidak mempunyai universiti. Lagi pula mereka
yang mengenali penjawat itu tahu beliau tidak pernah pergi ke universiti
yang bernama begitu, malah penggunaan bahasa Inggerisnya amat terbatas.
Seorang lagi mengakui beliau juga sudah mendapat PhD. Beliau berbangga pula bahawa beliau sedang menyiapkan dua PhD lagi.
Apabila kata-kata begitu datangnya daripada penjawat politik tinggi
dari parti pemerintah, ia disifatkan sebagai lelucon oleh orang
Indonesia. “Aku gelak, hang tau,” kata orang utara, geli hati.
Sudah lama soal PhD palsu atau yang diada-adakan diperkatakan; bagi
penerimanya, ia semata-mata untuk mendapat gelaran doktor. Tidak kurang
ramainya pegawai tinggi kerajaan ‘disapukan’ dari gelaran doktor palsu,
termasuk yang berjawatan Datuk Bandar dan Timbalan Ketua Setiausaha. Oleh itu, demi
mengentalkan reputasi universiti-universiti kita, segala gelaran yang
dikaitkan dengan akademik dan profesionalisme patut diper'aturan’kan
secara
strinjen, agar ia tidak menjadi bahan ketawa.
Apabila sesuatu menjadi bahan ketawa, maka kredibilitinya akan terjejas
dengan teruk. Tidak ada siapa yang wajar bersikap serius terhadap si
tolol di kampung.
Segalanya menjadi bahan cemekan. Analogi ini tidak seharusnya timbul
apabila kualiti pembelajaran di IPT kita diperkatakan di peringkat
internasional.
Tentu ada caranya dalam etika dan undang-undang untuk menulenkan segala
PhD – sebagai satu pertolongan untuk IPT kita mencari jalan pulang ke
arah kecemerlangan.
* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan